KRISIS bola sepak Malaysia terus meruncing apabila dokumen rasmi Keputusan Jawatankuasa Tatatertib FIFA akhirnya mendedahkan bahawa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) didapati bersalah menggunakan dokumen palsu dalam proses pendaftaran pemain warisan.

Menurut keputusan yang dikeluarkan Jawatankuasa Tatatertib FIFA, FAM dan tujuh pemain terlibat — Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui, serta Hector Alejandro Hevel Serrano — didapati melanggar Artikel 22 FIFA Disciplinary Code berhubung kesalahan pemalsuan dan penggunaan dokumen palsu dalam prosiding rasmi.

Susulan itu, FAM diperintahkan membayar denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) kepada FIFA, manakala setiap pemain dikenakan denda CHF2,000 (RM11,000) serta penggantungan selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak bermula tarikh keputusan dimaklumkan.

Dalam laporan sama, FIFA mendedahkan perbezaan ketara antara sijil kelahiran asal dengan dokumen yang dikemukakan kepada pihak berkuasa Malaysia. Misalnya, beberapa pemain dikatakan mengemukakan sijil kelahiran yang mendakwa datuk atau nenek mereka lahir di Malaysia, namun dokumen asal yang diperoleh FIFA menunjukkan tempat kelahiran sebenar di negara seperti Argentina, Brazil, Sepanyol dan Belanda.

Lebih membimbangkan, kenyataan rasmi yang difailkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) turut dipetik dalam laporan FIFA — mengesahkan bahawa pihak berkuasa Malaysia tidak pernah menerima sijil kelahiran asal bagi tujuan pengesahan. Sebaliknya, pengesahan hanya dibuat berdasarkan dokumen sekunder yang diperoleh dari luar negara.

FIFA mendedahkan perbezaan ketara antara sijil kelahiran asal dengan dokumen yang dikemukakan kepada pihak berkuasa Malaysia, dakwaan datuk atau nenek mereka lahir di Malaysia adalah tidak benar kerana dokumen asal yang diperoleh FIFA menunjukkan tempat kelahiran sebenar di negara seperti Argentina, Brazil, Sepanyol dan Belanda.

FIFA menegaskan kelemahan proses pengesahan tersebut menunjukkan kekurangan ketelitian dalam prosedur FAM serta menimbulkan persoalan terhadap kesahihan dokumen yang digunakan dalam urusan rasmi.

Keputusan ini turut dijangka memberi kesan besar terhadap kempen kelayakan Piala Asia 2027 buat pasukan negara, apabila Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul, sebelum ini menjelaskan bahawa sekiranya keputusan FIFA kekal, mata kemenangan Malaysia akan diberikan kepada pihak lawan.