PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan pihaknya masih menunggu dokumen penuh keputusan penghakiman daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sebelum memulakan proses rayuan berhubung hukuman penggantungan terhadap tujuh pemain warisan Harimau Malaya.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Hj Rahman berkata, proses rayuan hanya dapat dijalankan sebaik sahaja dokumen lengkap diterima secara rasmi daripada FIFA. Katanya, pasukan guaman FAM telah bersedia untuk mengambil tindakan lanjut sebaik dokumen tersebut diperoleh.



“Pasukan guaman FAM sudah bersiap sedia untuk bertindak sejurus dokumen berkenaan diterima. Sebaik keputusan penuh diperoleh, rayuan akan dikemukakan bersama dokumen sokongan yang kukuh,” katanya dalam satu kenyataan rasmi hari ini.

Terdahulu, FIFA menjatuhkan hukuman penggantungan selama 12 bulan serta denda terhadap tujuh pemain warisan negara atas isu pendaftaran, menyebabkan mereka tidak dapat beraksi bersama skuad kebangsaan dalam tempoh terdekat.

Kenyataan rasmi ini sekaligus menjadi penegasan pertama daripada FAM bahawa proses rayuan akan diteruskan mengikut saluran sah selepas semua dokumen rasmi daripada FIFA diterima sepenuhnya.