SKUAD Harimau Malaya kendalian Peter Cklamovski mengalami kekalahan 0-3 di tangan Cape Verde dalam aksi persahabatan tertutup yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, namun mesej utama kekal jelas – ini sekadar medan ujian menjelang perlawanan sebenar menentang Vietnam dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027.
Cape Verde yang dibimbing Brito Pedro tampil lebih tajam berbanding pertemuan pertama yang berakhir seri di Stadium Cheras. Dua gol daripada Rocha Livramento pada minit ke-35 dan 48, serta satu jaringan oleh Heriberto Tavares pada minit ke-55 memastikan kemenangan bergaya buat pasukan pelawat dari Afrika.
Malaysia pula memanfaatkan aksi ini sebagai peluang eksperimen dan pemanas badan untuk menilai kombinasi pemain serta taktikal baharu. Beberapa pertukaran dilakukan Cklamovski bagi menguji barisan pemain sebelum aksi penting bertemu Vietnam yang dijadual berlangsung pada 10 Jun nanti.
Walaupun keputusan tidak memihak kepada Malaysia, penyokong dinasihatkan agar tidak panik atau terlalu kritikal. Ini merupakan aksi tertutup dengan objektif utama menilai prestasi dan keserasian pemain – bukan mengejar kemenangan.
Fokus kini terarah sepenuhnya kepada Vietnam dalam usaha Harimau Malaya menempah tiket ke Piala Asia 2027. Cklamovski dijangka menurunkan barisan terbaik dan belajar daripada kelemahan yang timbul sepanjang dua aksi menentang Cape Verde untuk tampil lebih bersedia dalam perlawanan kompetitif akan datang.