Pelumba trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri mencuri perhatian pada saingan Piala Dunia Trek UCI 2026 di Velodrom Nasional apabila berjaya memperbaharui rekod kebangsaan acara pecut individu wanita.
Walaupun langkahnya terhenti di peringkat suku akhir, atlet berusia 23 tahun itu tetap mencatat sejarah peribadi dengan masa 10.541 saat, sekali gus memperbaiki rekod terdahulu miliknya.
Catatan baharu itu bukan sahaja mengatasi rekod lama yang dilakar lebih setahun lalu, malah meletakkan beliau dalam kelompok tujuh pelumba terbaik dunia.
Izzah menyifatkan pencapaian tersebut sebagai antara detik penting dalam kariernya, terutama selepas berdepan cabaran sengit menentang pelumba bertaraf dunia.
“Ini antara pencapaian terbesar dalam karier saya. Walaupun berdepan juara dunia, ia memberi banyak pengajaran terutama dari segi taktikal dan kelajuan,” katanya.
Dalam aksi suku akhir, beliau terpaksa akur kepada pelumba Belanda, Hetty van de Wouw yang muncul sebagai antara pencabar utama dalam kejohanan tersebut.
Namun, kekalahan itu tidak mematahkan semangatnya, sebaliknya dianggap sebagai pengalaman berharga untuk meningkatkan lagi prestasi.
Dengan momentum positif yang diraih, Izzah kini mengalihkan tumpuan kepada acara keirin dengan tekad untuk tampil lebih agresif.
Beliau juga berhasrat memperbaiki aspek taktikal serta kepekaan terhadap pergerakan lawan bagi memastikan mampu bersaing dengan lebih kompetitif di peringkat tertinggi.
Sumber Gambar: IG Nurul Izzah Izzati