PENTAGON terakhir dalam kancah Mobile Legends: Bang Bang Academy League Malaysia (MAL MY) semakin mendebarkan apabila CG Esports, pasukan digelar ‘Final Boss’, bersedia untuk menamatkan dominasi mereka dengan tiket ke MPL Malaysia Musim Ke-16. Playoff musim ke-3 bakal berlangsung secara fizikal di Quill City Mall, Kuala Lumpur dari 26 hingga 29 Jun ini, menghimpunkan 10 pasukan terbaik merebut hadiah terkumpul RM85,000 dan tempat dalam liga profesional negara.

CG Esports muncul sebagai pilihan utama selepas hanya mencatat satu kekalahan sepanjang musim reguler, dan kini bersandarkan dua nama besar — Muhammad Danial “Cikugais” dan Muhammad Syafizan Najmi “Garyy”. Cikugais yang pernah tampil di keempat-empat kejohanan dunia M-Series dianggap legenda MLBB tempatan, manakala Garyy pula memegang rekod antara perpindahan termahal dalam MPL Malaysia.

Namun, cabaran sebenar turut datang daripada GamesMY Kelantan yang muncul naib juara musim ini. Selepas gagal tipis menembusi MPL musim lalu, mereka kini tampil dengan semangat baharu untuk meruntuhkan tembok yang dibina CG Esports.

Playoff kali ini juga memperkenalkan format promosi baharu yang lebih mencabar – juara Upper Bracket bakal terus layak ke MPL, manakala satu lagi slot akan ditentukan menerusi pertembungan getir dengan pasukan MPL sedia ada, JP Niners.

Lebih menarik, kemunculan hero baharu, Wu Zetian, dijangka merubah landskap meta ketika playoff. Cikugais sendiri menyifatkan hero itu sebagai ‘game-changer’ yang mampu memberi kelebihan luar jangka kepada pasukan yang bijak memanfaatkannya.

MAL MY, yang dibangunkan oleh MOONTON Games dan IO Esports, kini menjadi jambatan penting dari akar umbi ke pentas profesional — dengan sokongan daripada KBS, ESI, Rakan Muda dan MESF. Semua mata kini tertumpu ke Quill City Mall: siapa yang bakal bergelar Raja Baharu dan mara ke liga elit MPL Malaysia?