HASRAT memahat nama negara dalam peta perlumbaan pecut berbasikal trek dunia, berada pada landasan yang betul setelah pelumba elit negara Muhammad Ridwan Sahrom menguasai acara pecut Siri Piala Presiden, di Veledrom Nasional, Nilai.
Pada Siri ketiga perlumbaan pecut individu lelaki pada Rabu, menyaksikan Ridwan merangkul pingat emas, iaitu yang kedua selepas memenanginya pada Siri Dua Piala Presiden.
Ridwan yang mesra disapa dengan panggilan “Boy” memenangi pingat emas acara pecut individu elit lelaki selepas mengatasi pelumba dari Australia, Sam Gallagher manakala gangsa menjadi milik rakan sepasukannya, Mohd Akmal Nazimi Jusena (pelumba pelapis).

Muhammad Ridwan Sahrom menewaskan Sam Galllagher dari Australia, di final pecut individu, Siri Tiga Piala Presiden.
Ironinya, kemenangan itu diserikan lagi dengan catatan peribadi baharu apabila dia mencatat masa kayuhan 9.921 saat (s) sepusingan ketika ‘fly’ pada pusingan kelayakan.
“Sememangnya saya mahu lari dari kebiasaan selepas kita memiliki pakar keirin seperti Muhammad Shah Firdaus Sahrom.
“Saya nak buat sesuatu yang berbeza. Saya nak fokus acara pecut sebab saya rasa ini platform terbaik untuk saya,” katanya, ditemui di Veledrom Nasional.

Muhammad Ridwan Sahrom mahu menjadi pencabar acara pecut dunia, lari dari tradisi Malaysia sebagai antara pencabar keirin.
Untuk rekod, Ridwan meraih pingat gangsa acara pecut individu dalam perlumbaan Siri Satu Piala Presiden, emas pada Siri Dua dan Tiga (hari ini).
“Saya rasa hari ini paling bermakna kerana setelah dua tahun berhempas pulas untuk acara pecut ini, saya dapat memperbaiki catatan terbaik peribadi daripada 10s kepada 9.921s.
“Azam itu saya dah pasang lama dah sejak tahun lalu. Lepas itu, saya menang pula emas. Saya memang rasa sangat gembira,” katanya.