PASANGAN beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat dan Lai Shevon Jemie, terpaksa menerima hakikat apabila langkah mereka terhenti lebih awal selepas tersingkir pada pusingan kedua.
Mereka tewas di pusingan penentuan dengan beregu Chinese Taipie, Guan un-Chia Hsin,19-21,21-7,19-21.
Ketika ditemu ramah Soon Huat mengatakan mereka sebenarnya mempunyai peluang untuk mengawal perlawanan, namun gagal memanfaatkan situasi ketika mata-mata penting.
“Pada mata-mata penting, kami gagal mengawal bulu tangkis dengan baik. Keadaan angin di sebelah gelanggang itu agak sukar terutama pada penghujung permainan,” katanya.
Beliau berkata keadaan tersebut menyebabkan mereka bermain secara tergesa-gesa sebelum beberapa kesilapan mudah membuka ruang kepada pihak lawan mendapatkan semula momentum.
Sementara itu, Shevon mengakui mereka hadir ke kejohanan dengan keyakinan tinggi selepas menjalani persiapan yang cukup baik sebelum ini.
“Persiapan kami sebelum ini sangat baik dan semuanya berada di landasan positif. Kami datang dengan harapan untuk mendapatkan keputusan yang baik,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengakui mereka sekali lagi gagal memanfaatkan peluang untuk menghasilkan prestasi yang diharapkan pada saat penting.
Shevon turut mendedahkan cabaran sebagai pemain profesional bebas terutama daripada aspek kewangan, termasuk mendapatkan bantuan tambahan seperti ahli psikologi sukan.
“Dari sudut psikologi memang kami perlukan bantuan, tetapi pada masa ini ia agak sukar kerana faktor kewangan,” katanya.