Beregu campuran negara, Jimmy Wong dan Cheng Su Yin mencipta kejutan terbesar hari kedua Terbuka Jepun 2026 apabila menyingkirkan pasangan ranking ke-14 dunia dari Jepun untuk melangkah ke pusingan kedua kejohanan bertaraf Super 750 itu.
Gandingan yang menghuni ranking ke-118 dunia itu mempamerkan semangat juang tinggi sebelum menewaskan Yuichi Shimogami-Sayaka Hobara 21-19, 11-21, 21-19 dalam pertarungan sengit yang berlarutan selama sejam.
Kemenangan itu menjadi suntikan moral buat Jimmy-Su Yin yang kini berpeluang menguji kemampuan menentang pasangan pilihan keenam kejohanan dari Perancis, Thom Gicquel dan Delphine Delrue, pada pusingan kedua.
Turut mengiringi langkah ke pusingan kedua ialah beregu profesional negara, Goh Soon Huat-Lai Shevon Jemie.
Pasangan suami isteri itu tidak berdepan banyak masalah apabila menundukkan wakil Amerika Syarikat, Zhi Yi Chen-Francesca Corbett 21-13, 22-20 dalam tempoh hanya 33 minit.
Kemenangan tersebut turut menyaksikan Soon Huat-Lai Shevon meneruskan rekod cemerlang ke atas lawan sama dengan mencatat kemenangan kedua berturut-turut dalam dua pertemuan.
Bagaimanapun, cabaran lebih getir menanti mereka apabila dijadual bertemu beregu China, Jiang Zhen Bang dan Wei Ya Xin.
Rekod pertemuan sebelum ini jelas memihak pasangan China apabila Soon Huat-Lai Shevon hanya berjaya mencatat satu kemenangan daripada 11 pertemuan.
Sementara itu, nasib berbeza menimpa perseorangan wanita negara, K. Letshanaa yang gagal melepasi halangan pertama selepas tewas kepada pemain Korea Selatan, Kim Ga Eun.
Letshanaa terpaksa akur dengan kekalahan straight set 16-21, 12-21 dalam perlawanan yang berlangsung selama 32 minit sekali gus menamatkan cabarannya lebih awal di Tokyo.