BEREGU campuran negara, Tang Jie-Ee Wei menutup hari ke-3 kejohanan Perodua Malaysia Masters dengan kemenangan bergaya terhadap beregu Indonesia, Amri Syahnawi-Nita Violina.

Kemenangan yang dicapai tidaklah mudah kerana daripada awal perlawanan berjalan dengan sangat sengit di mana kedua-dua beregu saling mengejar mata.

Beregu nombor 4 dunia itu bangkit daripada ketinggalan 20-17 pada set kedua dan berjaya menamatkan set tersebut dengan skor 22-20 sekaligus layak ke suku akhir

Ketika ditemu ramah, Tang Jie mengatakan bahawa pihak lawan bukanlah lawan yang mudah buat mereka.

“Penyokong sangatlah membantu terutama dalam perlawanan yang sengit ini dan saya nak berterima kasih kepada rakyat Malaysia dan kami akan buat lebih baik,” ujar beliau.

Beliau menambah ketika ketinggalan mereka tidak memikirkan tentang set penentuan tetapi lebih fokus kepada mendapatkan mata pada set tersebut.

Ee Wei memberitahu perkara ini selalu dinasihatkan oleh jurulatih dan mereka menerapkan nasihat itu di dalam diri mereka.

Beregu campuran negara akan berhadapan dengan beregu baharu daripada China, Gao Jia Xuan-Wei Fang Hui di suku akhir.