PASUKAN Terengganu FC menambah sengat jentera serangan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2026/2027 apabila mengumumkan kemasukan penyerang naturalisasi negara, Romel Morales.

Kehadiran pemain berusia 28 tahun itu disahkan menerusi pengumuman rasmi di platform media sosial kelab, sekali gus menamatkan spekulasi mengenai destinasi baharu penyerang Harimau Malaya itu selepas meninggalkan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Morales dijangka menjadi tonggak utama di bahagian serangan skuad kendalian Nafuzi Zain, selain bakal bergandingan dengan penyerang antarabangsa Curacao, Gervane Kastaneer.

Pemain kelahiran Colombia itu bukan nama asing dalam Liga Malaysia apabila sudah beraksi di negara ini sejak 2018 dan memiliki pengalaman luas bersama beberapa kelab tempatan.

Beliau memulakan karier di Malaysia bersama PKNS FC sebelum menyarung jersi Melaka United pada 2020, diikuti Kuala Lumpur City FC setahun kemudian.

Sepanjang bersama KL City, Morales muncul antara watak penting apabila membantu The City Boys menjulang Piala Malaysia 2021, sekali gus melonjakkan reputasinya sebagai antara penyerang terbaik liga.

Prestasi konsisten itu membuka peluang buatnya menyertai JDT pada 2024, di mana beliau terus menyerlah dengan merekodkan 22 gol dan empat bantuan jaringan dalam 40 penampilan di semua pertandingan.

Kehadiran Morales dilihat mampu memberi dimensi baharu kepada jentera serangan Terengganu yang kini giat memperkukuhkan skuad menjelang musim baharu, dengan harapan dapat kembali mencabar kelompok teratas Liga Super.