KEDAH Darul Aman (KDA) FC umumkan satu khabar gembira buat semua penyokong dan peminat, mengenai situasi tunggakan hutang terkini kepada pemain untuk musim 2023.

Shahrul Samsudin selaku Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC menjelaskan bahawa pihak mereka telah menyelesaikan keseluruhan tunggakan gaji bagi musim 2023 untuk semua pemain dan pegawai pasukan Liga Super, KDA FC B, KDA FC C, KDA FC D, serta staf pentadbiran kelab pada 17 April 2024.

Secara tidak langsung, ini bermakna Kedah FC berjaya melunaskan segala tunggakan sebelum tarikh akhir yang diputuskan oleh Perlesenan Kelab Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), First Instance Body (FIB) iaitu pada 20 April 2024 ini.

Shahrul Samsudin ucap terima kasih kepada Tan Sri Daud Bakar kerana berusaha memulihkan nama KDA FC.

Hal ini memberi kegembiraan buat Kedah FC kerana mereka dapat memenuhi syarat yang ditetapkan, seterusnya mengekalkan lesen kebangsaan bagi bertanding dalam Liga Malaysia musim ini.

“Alhamdulillah, pihak pengurusan kelab telah berjaya mengatasi masalah tunggakan yang membelenggu kelab sejak dari hujung tahun lepas dengan daya usaha semua terutamanya usaha tanpa henti Pemilik Majoriti KDA FC, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar.

“Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar serta Ahli Lembaga Pengarah yang turut bersama-sama membantu dan tidak lupa juga kepada semua penyokong setia dan peminat Sang Kenari yang mengambil peluang disediakan untuk menyumbang sedikit sebanyak kepada usaha yang dilancarkan sebelum ini.

Kedah FC mengumumkan berita gembira itu di laman Facebook rasmi mereka.

“Saya positif dengan perkembangan situasi terkini, KDA FC akan menumpukan pelaksanaan hala tuju dirancang untuk musim 2024/25 serta musim-musim yang mendatang dengan lebih tersusun, efektif dan jitu mengikut kerangka yang lebih efisyen,” ujar beliau dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam laman rasmi Kedah FC pada Khamis.

Sebagai tambahan, KDA FC akan memulakan saingan sepak mula kejohanan tempatan bermula dengan pasukan KDA FC C, dalam Piala Presiden pada 21 April ini diikuti KDA FC D pada 4 Mei dalam saingan Piala Belia.

Manakala pasukan Liga Super akan beraksi pada 11 Mei ini menentang PDRM FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.