PELARI menara nombor satu dunia, Soh Wai Ching menerima suntikan semangat baharu menjelang jadual pertandingan yang padat apabila dilantik sebagai Duta Jenama Next Energy menerusi satu kerjasama yang turut menyediakan sokongan kewangan sehingga RM150,000 setahun.

Kerjasama itu diumumkan menerusi majlis menandatangani perjanjian yang berlangsung hari ini, sekali gus mencerminkan komitmen syarikat tenaga boleh baharu itu dalam menyokong atlet negara yang terus mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

Menerusi tajaan tersebut, Soh akan menerima bantuan bagi menampung pelbagai keperluan sepanjang musim termasuk kos perjalanan, peralatan serta persiapan menghadapi kejohanan di dalam dan luar negara. 

Soh menyifatkan sokongan itu sebagai satu dorongan besar yang membolehkannya memberi tumpuan sepenuhnya terhadap latihan dan pertandingan tanpa terlalu memikirkan beban kewangan.

Beliau berharap kerjasama itu bukan sahaja membantunya mengekalkan prestasi di peringkat tertinggi, malah mampu menjadi inspirasi kepada lebih ramai atlet muda untuk mengejar impian mereka. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Next Energy, Steven Chiew berkata, pihaknya melihat sokongan terhadap atlet seperti Soh sebagai satu pelaburan bagi memperkukuhkan kecemerlangan sukan negara.

Menurutnya, nilai keazaman, disiplin dan kecemerlangan yang ditunjukkan Soh seiring dengan aspirasi syarikat, selain berharap kerjasama tersebut dapat menggalakkan lebih banyak organisasi tampil membantu atlet Malaysia bersaing di peringkat antarabangsa. 

Selepas ini, Soh dijadual mengharungi kalendar pertandingan yang padat bermula dengan Kuantan 188 Tower Run pada 1 Ogos sebelum menyertai beberapa kejohanan antarabangsa di China, Vietnam dan Sepanyol.

Beliau turut dijadual beraksi dalam The Sky Race @ Merdeka 118 di Kuala Lumpur, Oregon Tower Run di Pulau Pinang serta KL Tower Run, sebelum menutup musim dengan penyertaan dalam Empire State Building Run-Up di New York pada Oktober.