Bagi menggalakkan gaya hidup sihat dan aktif dalam kalangan warga kerja, Kelab Kebajikan dan Sukan (KKS) RTM dengan kerjasama rakan strategik ShekhinahPR telah menganjurkan RTM x SPR Pickleball Tournament di Glenmarie, semalam.

Kejohanan tersebut berlangsung dalam suasana santai namun kompetitif apabila menghimpunkan warga RTM menerusi pelbagai aktiviti menarik termasuk klinik asas pickleball, perlawanan sosial dan pertandingan berkumpulan.

Penganjuran acara itu turut dilihat sebagai usaha memperkenalkan dan mempopularkan sukan pickleball yang semakin mendapat perhatian di negara ini.

Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail berkata, kejohanan tersebut membuktikan komitmen RTM dalam menyokong perkembangan sukan berkenaan selain mengukuhkan semangat kesukanan serta kerjasama dalam kalangan warga organisasi.

“Bagi pihak RTM, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk Christopher Raj (Ketua Pegawai Eksekutif ShekhinahPR) atas segala sokongan yang diberikan.

“Penganjuran kejohanan ini bukan sahaja bagi menjayakan acara sukan, malah turut menyokong perkembangan sukan pickleball secara keseluruhan serta meneruskan legasi masyarakat yang sentiasa menyokong pembangunan negara, dan itu merupakan perkara paling penting,” katanya.

Kejohanan itu juga menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara peserta selain memupuk budaya kerja berpasukan menerusi aktiviti sukan yang semakin berkembang di Malaysia.