PASUKAN Johor Darul Ta’zim FC terus mengukuhkan dominasi bola sepak tempatan apabila menjulang Piala Malaysia 2025-2026 selepas menewaskan Kuching City FC pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.
Kejayaan itu menyaksikan JDT mencipta sejarah sebagai pasukan pertama dalam era profesional memenangi empat gelaran Piala Malaysia berturut-turut, sekali gus memintas rekod hatrik kejuaraan milik Selangor yang dilakar pada 1995, 1996 dan 1997.
Lebih manis, trofi berprestij itu turut melengkapkan quadruple keempat Harimau Selatan selepas sebelum ini menjuarai Liga Super, Piala FA dan Piala Sumbangsih musim ini.
Aksi final berlangsung sengit sejak wisel permulaan dengan Kuching City tampil berani memberi tekanan kepada juara bertahan itu. Bahagian kanan pertahanan JDT kerap digugat menerusi gerakan lincah Joao Pedro yang mencipta beberapa percubaan berbahaya ke arah gawang lawan.
Walaupun The Cats lebih agresif pada separuh masa pertama, skuad kendalian Xisco Muñoz turut mencipta beberapa peluang namun gagal menewaskan penjaga gol Kuching City, Haziq Nadzli.
Memasuki babak kedua, JDT meningkatkan intensiti permainan dan memasukkan Arif Aiman Hanapi pada minit ke-64 dalam penampilan pertamanya selepas pulih daripada kecederaan hamstring.
Kuching City hampir mengejutkan Harimau Selatan apabila dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-62, namun Ramadhan Saifullah gagal menyempurnakan peluang tersebut selepas sepakannya tersasar.
JDT akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-81 menerusi Marcos Guilherme yang melakukan lob menarik dari luar kotak penalti untuk menewaskan Haziq Nadzli.
Arif Aiman kemudian memastikan kemenangan JDT apabila meledak gol kedua sekali gus menutup peluang kebangkitan Kuching City.
Kejuaraan itu merupakan trofi Piala Malaysia keenam buat JDT dan mengukuhkan lagi status mereka sebagai kuasa dominan bola sepak Malaysia ketika ini.