Tan Cheng Hoe mengakui kekecewaan selepas Harimau Malaya gagal melangkah ke final FIFA ASEAN Cup 2026, namun jurulatih interim itu mahu anak buahnya terus melihat sisi positif daripada kempen Kumpulan A yang berakhir dengan kemenangan besar ke atas Singapura.
Malaysia menutup saingan kumpulan dengan bergaya apabila membelasah Singapura 6-0 dalam aksi terakhir di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung, Khamis lalu.
Namun, kemenangan tersebut belum memadai untuk membawa skuad negara ke final apabila Indonesia turut mengumpul tujuh mata dan muncul juara kumpulan berdasarkan kelebihan jumlah jaringan.
Tan Cheng Hoe tetap memuji persembahan pemainnya yang disifatkan cukup meyakinkan, terutama dari segi komitmen, kawalan bola, pergerakan serta keupayaan menyudahkan peluang.
“Jika kita lihat, pemain kami menunjukkan satu permainan yang cukup-cukup baik. Mereka begitu komited dalam setiap pergerakan, begitu baik dari segi kawalan bola dan juga penyudah yang begitu baik,” katanya selepas perlawanan.
Bagaimanapun, beliau mengakui keputusan di atas padang tidak semuanya berada dalam kawalan pasukan, dengan kemenangan besar ke atas Singapura akhirnya tidak mampu mengubah kedudukan Malaysia dalam persaingan merebut tiket ke final.
“Dalam bola sepak, perkara ini telah berlaku. Jadi, ini ibarat suka dan duka,” ujar Cheng Hoe ketika mengulas situasi yang berlaku.
Beliau menegaskan Harimau Malaya perlu segera mengalihkan perhatian kepada perjalanan seterusnya dan tidak membiarkan kekecewaan tersebut menjejaskan perkembangan pasukan.
“Dan tentu saja, kita perlu teruskan perjalanan kami dan berfikir positif,” katanya.
Malaysia menamatkan kempen Kumpulan A dengan tujuh mata hasil dua kemenangan dan satu keputusan seri daripada tiga perlawanan, namun terpaksa akur dengan Indonesia yang turut mengumpul jumlah mata sama tetapi memiliki kelebihan jaringan untuk menduduki tangga teratas kumpulan.