KETUA pasukan Terengganu FC, Safawi Rasid tampil yakin bahawa pasukannya masih berpeluang untuk mara ke peringkat kalah mati dalam saingan Piala Shopee 2024-25 meskipun memerlukan kemenangan penuh dalam baki dua perlawanan terakhir.

Safawi ditemui selepas sesi Trophy Tour Shopee Cup dan Meet and Greet bersama penyokong di Cheras, dia menyatakan bahawa fokus utama skuad Penyu kini tertumpu sepenuhnya untuk memastikan kejayaan dalam perlawanan seterusnya.

“Kami masih ada peluang untuk layak. Untuk baki dua perlawanan ini, kami nak kumpul mata penuh, enam mata.

“Fokus kami sekarang sepenuhnya adalah untuk saingan Shopee Cup ini,” ujar Safawi dengan penuh optimis.

Safawi ditemui selepas sesi Trophy Tour Shopee Cup dan Meet and Greet bersama penyokong di Cheras

Safawi turut menyifatkan kemenangan besar di Yangon tempoh hari sebagai suntikan semangat yang amat bermakna buat pasukan.

Jelasnya, kejayaan itu memberi motivasi tambahan bukan hanya kepada pasukan tetapi juga kepada pemain-pemain yang akan terus berjuang sehingga penghujung musim.

“Sudah tentu kemenangan tempoh hari merupakan motivasi buat pasukan. Ia memberi keyakinan kepada kami untuk terus mencipta keputusan positif dalam saingan ini,” katanya.

Safawi juga tidak lupa untuk berkongsi mengenai prestasi peribadinya sepanjang musim ini yang disifatkannya lebih konsisten dan stabil.

“Untuk saya, musim ini Alhamdulillah semuanya berjalan dengan baik. Saya rasa lebih relaks dan tidak tertekan dengan permainan saya,” tambahnya sambil mengakui bahawa tekanan yang dikawal dengan baik telah menyumbang kepada peningkatan prestasinya.

Safawi ingin membawa Skuad Penyu mara ke peringkat kalah mati bagi saingan sulung Shopee Cup. FOTO TFC

Dengan dua perlawanan penting yang menanti, Safawi dan rakan sepasukannya di Terengganu FC kini dilihat dalam keadaan bersedia untuk memberikan segala-galanya demi memastikan tempat mereka dalam pusingan kalah mati Shopee Cup.

Harapan penyokong kini tertumpu kepada skuad Penyu untuk meneruskan momentum kemenangan mereka dan membawa pulang keputusan yang positif dalam dua perlawanan akan datang.