JOHOR Darul Ta’zim (JDT) meneruskan rentak cemerlang mereka apabila berjaya menewaskan Sabah FC 4-0 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim pada Sabtu.
Ketua jurulatih JDT, Hector Bidoglio, memuji prestasi pasukannya, terutamanya selepas mereka berjaya menjaringkan gol awal pada separuh masa kedua yang dianggap menjadi titik perubahan dalam perlawanan tersebut.
“Gol pertama mungkin penting kerana ia memberikan kami keyakinan, kami bermain dengan sabar, menggerakkan bola dengan baik, mengekalkan kualiti permainan, dan cuba bermain lebih dinamik.
“Walaupun sukar untuk mencari rentak, hari ini pasukan bermain dengan sangat baik,” jelas Bidoglio dalam sidang media selepas perlawanan.

Hector Bidoglio (kanan) memuji prestasi pasukannya apabila berjaya mengekalkan rentak kemenangan.
Walaupun berjaya meraih kemenangan besar, Bidoglio mengakui Sabah memberikan tentangan sengit, terutama pada separuh masa pertama.
“Sabah adalah pasukan yang bagus kerana dalam perlawanan sebelum ini, mereka bermain dengan sangat baik.
“Kami tahu mereka mempunyai pemain berkualiti, tetapi kami sentiasa menumpukan perhatian kepada diri sendiri.
“Kami perlu terus bekerja keras, terutama dengan jadual perlawanan yang mencabar dalam beberapa minggu akan datang, termasuk perlawanan tempatan dan antarabangsa,” katanya lagi.

Juan Muniz membuka jaringan perlawanan hasil daripada sepakan percuma yang sempurna.
Dalam perkembangan lain, Bidoglio turut meluahkan rasa sedih atas kecederaan yang dialami oleh pemain pertahanan, Feroz Baharudin yang terpaksa berehat panjang akibat kecederaan yang serius.
“Saya sangat sedih kerana dia mengalami kecederaan yang sangat serius, dia adalah pemain yang sangat penting buat kami.
“Namun, kami mempunyai skuad yang baik, dan ini adalah sebahagian daripada bola sepak jadi kami perlu terus memberikan fokus kepada barisan pertahanan,” tambahnya.
Dalam pada itu, fokus JDT kini terarah kepada perlawanan separuh akhir Piala Malaysia menentang Terengganu FC yang akan berlangsung pada 17 Januari ini di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.
Ketika diminta memberi pandangan mengenai perlawanan tersebut, Bidoglio menegaskan kepentingan untuk terus memperbaiki pasukannya dalam menghadapi setiap perlawanan.
“Terengganu adalah pasukan yang sangat baik dengan pemain-pemain berkualiti. Namun, kami perlu sentiasa fokus kepada diri sendiri.
“JDT adalah sebuah pasukan besar yang terus berkembang setiap hari jadi kami perlu menunjukkan potensi kami, bukan sahaja di sini tetapi kepada dunia.
“Untuk menjadi juara liga, kami perlu bermain dengan intensiti dan dinamik yang tinggi. Jika tidak, kami akan menghadapi masalah besar,” tambahnya lagi.
Perlawanan separuh akhir Piala Malaysia antara JDT dan Terengganu FC dijangka menjadi pertembungan sengit apabila kedua-dua pasukan membawa misi besar untuk melangkah ke final.