SELANGOR FC menerima idea daripada penyokong-penyokong dan akan memperhalusi pendekatan yang bakal digunakan untuk memilih penyokong yang akan menghadiri sesi townhall bersama-sama Ketua Pegawai Eksekutif selepas ini.
Heboh di media sosial selepas ramai penyokong terutama pemegang pas bermusim yang mempersoalkan kriteria pemilihan penyokong yang dijemput hadir ke sesi itu yang dilangsungkan pada Selasa dan perkara ini akan diperhalusi bagi mendapat situasi menang-menang antara kedua-dua pihak.
Perkara ini diakui sendiri Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon ketika ditemui pada majlis pelancaran kolaborasi baharu kelab itu bersama pembuat jam antarabangsa di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada Ahad.
“Dari maklumat yang kita dapat, ianya sentiasa ada ruang untuk penambahbaikan dan kami mungkin akan menyampaikan jemputan kepada pemegang pas bermusim tetapi kita perlu mengkaji mekanisma yang sesuai kerana jika terlalu ramai ianya menjadi tidak efektif.
“Kami mempunyai 2,000 pemegang pas bermusim dan sukar untuk menjemput kesemua mereka dan atas sebab itu kami menjemput wakil-wakil kelab penyokong dan berharap mereka dapat sampaikan kepada ahli mereka,” katanya.
Dalam perkembangan yang sama, Johan turut menyatakan segala rasa tidak puas hati yang ditimbulkan para penyokong selepas sesi townhall itu perlu ditanya langsung kepada mereka kerana pihak pengurusan sudah memberikan semua jawapan yang diutarakan.
“Saya rasa lebih baik pihak media bertanya sendiri kepada mereka kerana ianya kain rentang mereka dan bukannya kami. Mereka mungkin mempunyai idea yang lebih jelas tentang apa yang mereka tidak puas hati dan hanya itu yang boleh saya katakan.
“Kami telah menjawab segala penjelasan terhadap semua soalan yang mereka bangkitkan dalam sesi Townhall yang berlangsung lebih tiga jam dan berakhir hampir jam 1 pagi,” jelasnya.