SABAH FC terpaksa akur dengan kekalahan 0-4 kepada Johor Darul Ta’zim FC (JDT) dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim pada Sabtu.

Ketua jurulatih Sabah Martin Stano, dalam sidang media selepas perlawanan, mengakui kualiti pemain JDT adalah faktor utama kemenangan pasukan tuan rumah.

“Pertama sekali, tahniah kepada JDT atas kemenangan ini, kami tahu ia tidak akan mudah, lebih-lebih lagi bermain di tempat lawan di Stadium Sultan Ibrahim.

“Namun, saya fikir kami telah membuat persiapan yang baik dan kami bermain dengan cukup baik pada separuh masa pertama, tidak memberikan terlalu banyak ruang kepada pemain JDT, malah mencipta beberapa peluang untuk menjaringkan gol.

“Malangnya, kami tidak cukup berani di dalam kotak penalti lawan untuk menjaringkan gol,” kata Stano selepas tamat perlawanan.

Menurut Stano, selepas gol pertama JDT melalui sepakan percuma, prestasi pasukan Sabah sudah kelihatan sedikit merosot.

“Kami mula hilang kawalan bola dan terlalu banyak menendang bola tanpa tujuan dan akibatnya kami memberikan lebih banyak ruang kepada JDT, yang akhirnya membawa kepada gol-gol yang dijaringkan.

“Namun secara keseluruhannya, saya bangga dengan pemain kami, terutama dengan prestasi mereka pada separuh masa pertama,” jelasnya.

Ketika ditanya mengenai kehilangan beberapa pemain utama dalam kesebelasan utama akibat penggantungan, Stano mengakui ia sedikit sebanyak menjejaskan perancangan taktikal mereka.

“Ya, ia sangat mempengaruhi kerana pemain-pemain ini biasa bermain dalam kesebelasan utama.

“Tetapi tidak mengapa, pemain lain mendapat peluang untuk bermain, dan itulah realitinya sekarang,” tambah Stano.

Sebagai tambahan, Stano menjelaskan kualiti pemain JDT adalah faktor pemisah di antara pasukannya dan JDT.

“JDT sentiasa mempunyai pemain berkualiti tinggi, saya bukan mengatakan kami tiada pemain yang bagus, kami ada apa yang kami ada.

“Saya tetap bangga dengan pemain-pemain kami. Tetapi, tahap kualiti pemain JDT memang berbeza,” tambahnya lagi.

Selepas ini, pasukan Sabah FC akan menghadapi Sri Pahang FC dalam perlawanan penting separuh akhir Piala Malaysia di Stadium Likas.

Stano meluahkan keyakinan bahawa pasukan Sabah mampu memberikan saingan yang baik pada perlawanan di tempat mereka nanti.

“Kami akan melakukan yang terbaik di tempat sendiri dan cuba mendapatkan keputusan yang positif, sokongan daripada penyokong di Likas akan menjadi pembakar semangat untuk kami,” katanya sebelum mengakhiri sidang media.

Perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia di antara Sabah FC dan Sri Pahang FC dijadualkan berlangsung pada 18 Januari di Stadium Likas.