SESI pemilihan barisan exco baharu Persatuan Bola Sepak Bahagian Miri (PBBM/2009) 2023/2025 berkenaan menyaksikan Mohd. Saif Jubaidi kembali diberi mandat menduduki kerusi nombor satu selaku Presiden PBBM (2009).

Mesyuarat Agung Dwithunan PBBM/2009 2023/2025 yang diadakan sebuah hotel terkemuka di Bandaraya Miri berlangsung dalam suasana harmoni.

Ini adalah kali kedua Saif Jubaidi menerajui PBBM (2009) selepas dua penggal (2014-2018) memegang jawatan tersebut.

Saif yang cukup berpengalaman di pentas bola sepak tempatan menang tanpa bertanding selepas pencalonannya mendapat suara majoriti wakil ahli gabungan yang hadir.

“Terima kasih kepada semua perwakilan yang hadir dan kepercayaan diberikan kepada saya untuk menerajui dan menjadi Presiden PBBM (2009).

“Dengan pengalaman yang ada saya bersama barisan exco baharu ini akan cuba melaksana tugas dan tanggungjawab dengan sebaiknya,” ujar Saif.

 

Beliau turut berharap sokongan semua ahli gabungan yang ada bagi memastikan perancangan yang bakal dilaksana pihaknya selepas ini mencapai objektifnya.

Dalam pada itu, mesyuarat berkenaan juga turut menyaksikan Nazri Ahmad Lai memegang jawatan timbalan presiden selepas mengatasi pencabarnya.

Begitupun, lima jawatan Naib Presiden masing-masing menyaksikan Mohd. Azra Ayub, Pengiran Bala, Sabir Amin, Wan Nudzurulisyam Wan Bujang dan Emilia Likau selepas berjaya mengatasi lawan masing-masing.

Sumber : Arena Suara Sarawak