LIVERPOOL boleh menghela nafas lega. Pemain bintangnya, Mohamed Salah, memastikan dirinya masih akan menyarung jersi The Reds musim depan.

Selain final Liga Juara-Juara yang menemukan Liverpool dengan Real Madrid, masa depan Salah juga dibicarakan peminat sejak kebelakangan ini. Pemain asal Mesir itu seringkali dikhabarkan akan berhijrah pada musim panas ini.

Semuanya berkisar kepada kontrak Salah dengan Liverpool yang akan tamat pada tahun 2023. Jika tidak diperbaharui, maka musim panas ini akan menjadi saat terbaik buat The Reds untuk menjualnya.

Belum diketahui secara jelas apakah alasan Salah enggan menandatangani kontrak baru sehingga saat ini. Dari beberapa khabar angin yang berlegar, difahamkan dia menginginkan kenaikan gaji yang penuh bermakna dalam kontrak barunya.

Masih berbaki satu tahun untuk Liverpool meyakinkan Mo Salah supaya menandatangani kontrak baru. Meskipun situasinya tidak menggembirakan, tapi memujuk pemain agar kekal sehingga masa terakhir kontrak sedang menjadi trend kebelakangan ini.

Hal ini juga terjadi kepada bintang PSG, Kylian Mbappe. Setelah satu tahun diisukan kononnya akan berpindah ke Real Madrid, penyerang berusia 23 tahun itu akhirnya memilih menandatangani kontrak baru dengan Les Parisien.

Salah sendiri mengakui bahawa dirinya masih akan kekal di Liverpool musim depan. Jadi, dapat dipastikan bahawa dirinya takkan ke mana-mana. Namun ia tidak boleh memberi jaminan akan kekal lebih lama berbanding kontraknya yang sekarang.

“Saya tidak mahu jadi ego. Saya hanya ingin fokus kepada pasukan. Saya tidak mahu bercakap soal kontrak. Kami masih miliki waktu panjang. Saya sudah pasti kekal musim depan. Itu sudah jelas,” ujar Salah.

Sementara itu, masa depan Sadio Mane di Liverpool juga sedang hangat diperkatakan. Dia juga memiliki kontrak sehingga tahun 2023 dan belum bersedia menandatangani perjanjian baru dengan The Reds.

“Pertanyaan bab ini, saya akan menjawabnya setelah Liga Juara-Juara. Adakah saya kekal atau tidak, saya akan beri jawapannya selepas aksi Liga Juara-Juara!” kata Mane.

Mane juga ditanya soal kemungkinan bergabung dengan Real Madrid pada musim panas ini. Namun begitu, penyerang berdarah Senegal tersebut tidak tertarik melayan pertanyaan wartawan itu.

“Pertanyaan yang bagus, tapi yang ingin saya katakan adalah saya sepenuhnya fokus pada final Liga Juara-Juara. Buat saya dan penyokong Liverpool, itulah yang terpenting,” katanya lagi.