PERJALANAN pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC musim ini berakhir dengan persembahan dan pencapaian yang tidak menggalakkan.

Sang Kenari berada di tahap agak tercorot dalam lanskap pasukan liga Malaysia. Situasi ini diakui sendiri oleh pemilik kelab, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar menerusi platform Facebook pada Khamis.

“Bagi pihak Kedah Darul Aman FC, saya ingin menzahirkan rasa penghargaan kami kepada semua pemain, pasukan kejurulatihan dan semua warga kerja KDA FC atas kerja keras anda semua sepanjang musim 2022.

“Musim 2023 Sang Kenari, Insya Allah akan bermula dari tanah rata (ground zero) untuk mendaki tanah tinggi (high ground). Kami telah memulakan banyak langkah yang padu dan berimpak tinggi sejak bulan September 2022.

“Kami akan memaklumkan semua tindakan dan inisiatif kami dari masa ke semasa. Kami juga membaca semua komen-komen anda dalam semua platform.

“Teruskan libat urus (engagement) anda dengan kami kerana kita adalah keluarga Sang Kenari,” katanya.

Beliau yang juga tokoh usahawan mempersembahkan rasa penghargaan yang tidak terhingga kepada semua penyokong KDA FC dalam pelbagai peringkat, umur dan alamat rumah.

“Sokongan, galakan dan doa anda semua sentiasa menjadikan kami lebih bersemangat untuk mengurus kejayaaan pasukan Sang Kenari di masa hadapan.

“Mari kita melangkah ke musim 2023 dengan aspirasi baru secara bersama,” katanya lagi.