SEMUA Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dikatakan berkemungkinan besar meletakkan jawatan esok, sekali gus membuka laluan kepada pelaksanaan “program reform” oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Langkah drastik itu difahamkan bertujuan mengelakkan sebarang risiko penggantungan, selain memberi ruang kepada AFC untuk membantu menstruktur semula FAM secara menyeluruh yang merangkumi aspek tadbir urus, kewangan, perlembagaan, undang-undang serta struktur pentadbiran badan induk berkenaan.

Bagaimanapun, AFC tidak akan mengambil alih FAM secara langsung, sebaliknya hanya bertindak memberikan sokongan melalui penubuhan satu pasukan khas yang akan bekerjasama rapat dengan Setiausaha Agung FAM, Bendahari FAM serta beberapa pengarah jabatan terpilih bagi tempoh beberapa bulan.

Dalam tempoh reform itu, sebarang individu yang mempunyai kuasa menandatangani cek atau terlibat secara langsung dengan urusan kewangan tidak dibenarkan melakukan sebarang transaksi, bagi memastikan ketelusan dan kawalan penuh sepanjang proses penstrukturan semula dijalankan.

Pasukan khas AFC itu dijangka akan menilai keseluruhan ekosistem FAM termasuk tadbir urus, kewangan, statut, undang-undang, kongres serta mekanisme pemilihan, sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat demi memastikan badan induk bola sepak negara kembali stabil dan berfungsi secara profesional.

Selepas proses reform diselesaikan, satu kongres baharu akan djalankan bagi membolehkan pemilihan kepimpinan FAM diadakan semula, dengan keseluruhan proses ini dijangka mengambil masa antara empat hingga lapan bulan.

Sebelum ini, khabar angin mengenai pengunduran Jawatankuasa Eksekutif FAM sudah berlegar dalam kalangan pemerhati bola sepak tempatan, dan perkembangan terbaharu ini dilihat sebagai titik penting yang bakal menentukan hala tuju bola sepak Malaysia dalam jangka panjang.