PENGENDALI pasukan Penang FC, Manzoor Azwira Abdul Wahid menjelaskan masih banyak yang perlu diperbaiki dalam pasukannya kerana skuad Harimau Kumbang kali ini menampilkan hampir 95 peratus muka baharu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini.

Dia yang ditemui selepas perlawanan persahabatan menentang UiTM FC turut mahu para penyokong Penang FC untuk bersabar dengan pasukan ini kerana buat masa ini masih terlalu awal untuknya menentukan kesebelasan utama dan juga untuk menilai prestasi pemain import.

Manzoor juga tidak mempunyai masalah dengan jadual baharu Liga Malaysia 2023 yang diumumkan Malaysia Football League (MFL) pada Khamis dan menganggap ianya adalah sesuatu yang sepatutnya berlaku kepada sesebuah pasukan bola sepak.

“Setakat hari ini masih banyak yang perlu diperbaiki kerana tahun ini kami adalah pasukan yang baharu. Selepas melalui tiga perlawanan persahabatan, keserasian para pemain masih jauh dan masih banyak yang perlu dilakukan terutama kombinasi antara pemain dan kami akan cuba untuk tingkatkan keserasian.

“Juga masih terlalu awal buat saya untuk menilai pemain import dan kami juga masih belum berjumpa pasukan yang besar dan boleh dikatakan belum cukup teruji. Negeri Sembilan tidak menurunkan pemain import mereka dan saya rasakan saya hanya akan melihat secara keseluruhan ketika Piala Harapan pada awal Februari nanti.

“Buat masa ini pasukan perlu berlatih untuk memastikan keserasian dan taktikal berjalan dengan lancar dan kami cuba tambah baik pasukan dari perlawanan ke perlawanan dan setakat ini saya belum putuskan lagi siapa kesebelasan utama kerana masih awal.

“Saya tidak mempunyai isu pada jadual. Ini yang sepatutnya berlaku pada pasukan bola sepak dan ini adalah sesuatu yang positif dan kami bersedia dengan semua keadaan termasuk bermain pada sebelah petang kerana kami adalah pasukan dan pemain yang professional,” katanya kepada media.

Selepas mengharungi tiga perlawanan persahabatan, Manzoor dilihat memberikan peluang kepada setiap pemain yang ada untuk menunjukkan potensi mereka kerana dia percaya para pemain masih mencari-cari rentak kerana sebelum ini tidak berada dalam kesebelasan utama pasukan terdahulu.

Penang FC berjaya mencatat kemenangan dalam ketiga-tiga perlawanan persahabatan mereka dengan menewaskan Manjung City FC 3-0, Negeri Sembilan FC 2-0 dan UiTM FC 2-0.