Select Page

Sangat luar biasa… ini yang kita mahukan…

Sangat luar biasa…  ini yang kita mahukan…

OLEH : MOHD FARIQ

KETUA Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon akui beliau terpesona dengan extravaganza aura penyokong Liga Malaysia selepas menyaksikan aksi separuh akhir Piala FA yang menemukan Terengganu FC dan Selangor FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak, Kuala Terengganu.

Malam kelmarin penyokong telah disajikan 120 minit persembahan daripada kedua-dua pasukan di mana Terengganu berjaya menempah pentas final Piala FA selepas menundukkan cabaran Selangor 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti.

Sudah pasti kelibat Pan-gon juga menjadi antara salah satu saksi hampir 40,000 penonton dalam stadium yang menyaksikan perlawanan itu secara langsung di venue berkenaan.

Mengulas mengenai bahang kejohanan tersebut, figura yang berasal dari Korea Selatan itu dan pernah menjawat jurulatih Hong Kong tidak menyangka rakyat Malaysia benar-benar menyintai sukan bola sepak selepas kapasiti Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin penuh.

“Sejujurnya saya sendiri tidak pernah merasai pengalaman ini ketika berada di Liga Korea Selatan, ternyata orang Terengganu benar-benar luar biasa. Apa yang pasti ia membuktikan sukan bola sepak cukup dekat di hati rakyat Malaysia.

“Saya berharap kehadiran atau kedatangan penonton di stadium ini konsisten sekali gus membuatkan semua orang semakin ghairah untuk menyokong bola sepak Malaysia,” katanya kepada Flash Sukan.

Pan-gon bertukar idea dengan pengurusan Terengganu FC di TFC Coffee Lab.

Pan-gon yang telah berjaya membantu skuad kebangsaan layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023, bersama barisan kejurulatihan turun menyaksikan perlawanan itu bagi mengintai lagi beberapa pemain potensi yang diketengahkan untuk pasukan kebangsaan.

Beliau sempat menjamu selera Selera Kampung TokMi di Teluk Ketapang bersama barisan kejurulatihan Harimau Malaya dan pemain kebangsaan, Faisal Halim sebelum dijemput minum petang oleh Ketua Pengarah Eksekutif Terengganu FC, Rashid Jusoh ke Kafe Terengganu FC di TFC Coffee Lab.

Bulan depan pasukan kebangsaan akan turun ke kejohanan karnival di Thailand sebagai persiapan skuad sebelum turun bermain di Piala Asia 2023.

Video Terkini

Loading...