KETUA jurulatih Sri Pahang FC, Fandi Ahmad mengakui sikap positif dan semangat sebagai satu pasukan adalah faktor utama pasukannya dapat menewaskan Selangor FC dengan aggregat 3-2 sekaligus layak ke peringkat suku akhir Piala Malaysia.
Fandi turut gembira dengan kejayaan ini kerana skuadnya melalui minggu yang sukar apabila masih tidak mempunyai padang latihan yang sesuai menjelang aksi timbal balik ini.
“Syukur dan saya gembira kerana kami bermain dengan sangat disipilin dan itu adalah sasaran kami hadir ke sini untuk tidak bermain open play kerana kualiti lawan lebih baik dan bergantung pada serangan balas sebab itu kita lebih bersikap defensif di dalam padang.
![](https://www.flashsukan.com.my/wp-content/uploads/2024/12/IMG-20241201-WA0036-1000x664.jpg)
Fandi gembira pemain bermain sebagai satu pasukan
“Kemenangan ini baik kerana kami juga mengalami masalah dalam latihan kerana tidak ada padang yang sesuai dengan hanya berlatih di gelanggang futsal tetapi mereka bermain sebagai satu pasukan dan semangat pemain mengatasi segalanya,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Bekas pemenang Piala Malaysia enam kali itu juga sedar lawan mereka di suku akhir, Perak FC bukanlah lawan yang mudah namun dia yakin pasukannya mampu menghasilkan keputusan yang baik buat semua pihak.
“Perak adalah pasukan yang baik dan bukan mudah bermain dengan mereka. Mereka adalah satu pasukan yang bekerja keras dan kita kalah dalam saingan liga ketika itu tetapi kami bermain tanpa tiga pemain utama.
“Untuk kali ini saya harap pemain dapat bermain lebih baik kerana sedar sangat sukar untuk bermain di Manjung dan kami akan lakukan yang terbaik,” jelasnya.
Dua penalti dari Manuel Hidalgo dan Sergio Aguero pada setiap babak sudah cukup untuk membawa Sri Pahang ke suku akhir kini akan menumpukan perhatian kepada persiapan pasukan untuk menghadapi Perak FC.