SELANGOR FC terus mengukuhkan jenama mereka apabila mengumumkan Grantt Lubricants sebagai rakan kongsi rasmi untuk musim 2025/26, sekali gus menjadi kerjasama pertama syarikat pelincir tempatan itu dalam arena bola sepak Malaysia.

Kerjasama ini menyaksikan jenama Grantt, di bawah UMW Lubetech Sdn. Bhd. milik penuh Sime Darby Berhad, dipaparkan pada jersi Kejuaraan Kelab ASEAN Selangor FC, papan tanda stadium dan platform digital kelab Gergasi Merah itu.

Pengarah Bahagian Pembuatan & Kejuruteraan Grantt Lubricants, En. Akhram Abdullah berkata, kerjasama ini mencerminkan komitmen syarikat terhadap prestasi, ketahanan dan kebolehpercayaan – nilai yang selari dengan semangat Selangor FC. Beliau turut menegaskan hasrat untuk mendekatkan lagi hubungan jenama itu dengan peminat bola sepak tempatan.

Bagi Pengarah Eksekutif Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon, perkongsian ini amat bermakna kerana Grantt menjadi rakan pelincir pertama dalam sejarah kelab. Beliau menyifatkan ia sebagai langkah penting dalam pertumbuhan holistik kelab, baik di dalam mahupun di luar padang.

Tambahnya, gabungan Selangor FC dan Grantt Lubricants bukan sahaja menyokong prestasi tertinggi di padang, tetapi turut menggalakkan gaya hidup aktif dan sihat, keselamatan di jalan raya serta pembangunan kemahiran dan pertumbuhan peribadi.

Bagi meraikan kerjasama ini, Grantt sedang menjalankan kempen End User Campaign di seluruh negara sehingga 30 September 2025 dengan tawaran hadiah menarik dan ganjaran eksklusif untuk pembelian produk terpilih, selain pelbagai aktiviti lapangan dan digital bagi mendekatkan peminat dengan kedua-dua jenama.