PENYERANG baharu DPMM FC, Syafiq Ahmad mengakui cabaran utama pasukannya ketika ini adalah menyesuaikan diri dengan tempo pantas saingan Liga Super, namun optimis mampu membantu kelab dari Brunei itu segera beradaptasi.
Bekas penyerang Kedah Darul Aman FC dan Johor Darul Ta’zim itu berkata, selepas dua penampilan awalnya bersama DPMM, beliau melihat pasukannya memerlukan tempoh sekurang-kurangnya dua atau tiga perlawanan untuk benar-benar serasi dengan corak permainan liga tempatan yang lebih agresif berbanding Liga Singapura sebelum ini.
“Seperti saya cakap, saya mahu cuba suasana baharu dan pengurusan mereka. Alhamdulillah, setakat ini semuanya okey. Pasukan ini ada potensi untuk kita lihat di masa depan, insya-Allah boleh bertahan lama.
“Sebelum ini mereka bermain di Liga Singapura dan sudah diberitahu Liga Super kita lebih pantas. Jadi, mungkin ambil masa sedikit untuk menyesuaikan diri, tapi saya harap dapat membantu mereka segera adaptasi,” katanya.
Syafiq turut mendedahkan DPMM FC memiliki perancangan jangka panjang apabila menandatangani kontrak tiga tahun untuk bersaing di Liga Super, dengan musim pertama ini menjadi medan penilaian terhadap tahap saingan di Malaysia.
“Bukan bermaksud tiada sasaran, tetapi mereka mahu lihat dulu bagaimana liga kita. Dari situ baru mereka boleh rancang. Saya akan cuba beri sumbangan maksimum untuk kami dapatkan kedudukan terbaik dalam liga,” tambahnya.
DPMM FC bakal menentang Kuching City di Stadium Negara Hassanal Bolkiah pada 8:15 malam esok dalam saingan Piala FA.