KEKALAHAN tipis 0-1 Malaysia kepada Thailand di separuh akhir bola sepak lelaki Sukan SEA 2025 bukan sekadar berpunca daripada kehebatan sepakan percuma Yotsakorn Burapha, tetapi juga detik cuai yang menghukum apabila skuad Harimau Muda terpaksa beraksi lebih 70 minit dengan 10 pemain, namun ketua jurulatih Nafuzi Zain pantas tampil mempertahankan pemain mudanya, Aiman Yusuf Nabil.

Aiman yang baru berusia 19 tahun melalui malam sukar di Stadium Rajamangala apabila kekasaran yang dilakukannya di hadapan kotak penalti membuka ruang kepada Yotsakorn Burapha ‘membunuh’ pasukan negara seawal minit kelapan menerusi sepakan percuma, sebelum pertahanan muda itu dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-15, memaksa Malaysia beraksi dengan kekurangan pemain dalam perlawanan sepenting separuh akhir.

Namun bagi Nafuzi, kesilapan itu tidak wajar dijadikan hukuman seumur hidup buat Aiman, sebaliknya satu proses pembelajaran yang pahit yang perlu buat pemainnya bangkit.

“Dia masih sangat muda, baru 19 tahun dan perjalanan dia masih panjang. Dia prospek yang baik untuk bola sepak Malaysia, khususnya di posisi bek kanan,” kata Nafuzi sambil menegaskan tekanan perlawanan besar dan tempo tinggi berdepan tuan rumah sedikit sebanyak mempengaruhi keputusan pemain muda itu.

Nafuzi turut mengakui kesilapan Aiman selepas menerima kad kuning pertama menyumbang kepada insiden tersebut, namun menegaskan ia sebahagian daripada proses kematangan.

“Dalam perlawanan besar, kadang-kala kita buat terjahan yang tidak perlu walaupun sedar sudah ada kad kuning. Mungkin dia perlu kawal emosi, tapi itu semua proses. Saya tak boleh salahkan dia,” ujarnya.

Walaupun diuji dengan kekurangan seorang pemain, Nafuzi tetap berbangga dengan semangat juang skuad B-23 yang berjaya mengekang asakan Thailand dan mengekalkan keputusan 1-0 hingga wisel penamat.

“Walaupun bermain 10 orang, kami tunjukkan disiplin dan struktur yang baik. Pemain berjuang habis-habisan dan itu sesuatu yang saya sangat banggakan,” katanya.

Malaysia kini mengalihkan fokus kepada perlawanan penentuan pingat gangsa, dengan Nafuzi berharap pengalaman pahit di pentas besar ini, khususnya buat Aiman, akan menjadi asas kepada pasukan yang lebih matang dan kebal pada masa depan.

FOTO:BERNAMA