PEMAIN sayap lincah Harimau Malaya, Arif Aiman Hanapi mengakui kemenangan 3-0 ke atas Laos dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional New Laos, Vientiane malam tadi bukanlah tugas mudah seperti yang disangka.

“Malam ini bukan perlawanan yang senang. Laos beri saingan yang baik. Tapi bukan satu pemain saja yang bekerja keras — seluruh pasukan, staf, dan pegawai perubatan sama-sama berjuang. Semua bagi 100 peratus,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Arif yang meledak gol pembukaan pada minit ke-53 menjadi pencetus kebangkitan Harimau Malaya sebelum Dion Cools dan Faisal Halim menambah dua lagi jaringan untuk memastikan kemenangan selesa skuad kendalian Peter Clamovski itu.

Mengulas lanjut, pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu berkata kejayaan di Vientiane adalah hasil kerjasama semua pihak, termasuk semangat yang dipupuk dalam kem kebangsaan walaupun berdepan pelbagai cabaran luar padang.

“Saya nak ucap tahniah kepada semua pemain, dan juga terima kasih kepada tujuh pemain yang digantung oleh FIFA. Mereka tetap rakyat Malaysia dan tetap sebahagian daripada kami. Kami doakan yang terbaik untuk mereka,” katanya dengan nada penuh emosi.

Arif turut merakamkan penghargaan khas buat Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang disifatkannya sebagai penyokong terbesar pasukan. “Terima kasih juga kepada penyokong, dan paling besar, terima kasih kepada TMJ yang sentiasa ada bersama kami,” ujarnya.

Bagi Arif, kemenangan ke atas Laos bukan sekadar tiga mata, tetapi juga lambang ketabahan pasukan untuk terus fokus di tengah tekanan dan kontroversi yang melanda bola sepak tanah air.