Malaysia tidak akan mengetepikan mana-mana atlet berstatus bintang apabila turun sebagai tuan rumah Sukan SEA 2027, termasuk mereka yang sudah memiliki pengalaman serta kejayaan di pentas Sukan Asia dan Olimpik.
Ketua Kontinjen (CDM) Sukan SEA 2027, Datuk Iruan Zulkefli berkata, semua atlet yang mempunyai potensi menyumbang pingat akan diberi pertimbangan untuk berada dalam kontinjen negara.
Menurutnya, status sebagai pemenang pingat Olimpik atau juara Sukan Asia bukan alasan untuk seseorang atlet diketepikan daripada temasya serantau itu.
“Semua atlet terbaik yang berpotensi memenangi pingat akan beraksi. Tiada istilah atlet yang sudah bergelar juara di peringkat Sukan Asia atau pemenang pingat di Sukan Olimpik akan kita tinggalkan, tidak sama sekali.
“Ini bumi dan tanah air kita. Apabila kita menjadi tuan rumah, semangat juang kita pasti lebih membara dan matlamat utama kita sudah tentu mahu menjadi juara keseluruhan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Kiraan Detik 365 Hari Menjelang Sukan SEA 2027, hari ini.
Bagaimanapun, Iruan berkata barisan negara tidak hanya bergantung kepada atlet berpengalaman kerana pelapis muda turut akan diberikan ruang untuk mendapatkan pendedahan di pentas serantau.
Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan kesinambungan prestasi negara apabila sebahagian atlet yang kini berada di kemuncak karier sudah memasuki fasa veteran, selain persiapan jangka panjang menuju Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
“Sebahagian juara kita sekarang sudah berstatus veteran, jadi kita perlukan pengganti baharu untuk meneruskan legasi terbaik. Sukan SEA ini adalah medan terbaik untuk kita mencungkil juara baharu dan memberi pendedahan kepada mereka sebelum melangkah ke temasya lebih tinggi,” katanya.
Dengan kelebihan beraksi di laman sendiri, Malaysia dijangka membawa kontinjen terbesar dengan anggaran kira-kira 1,300 atlet yang akan bersaing dalam 43 jenis sukan.
Dalam aspek sasaran, Iruan turut membuka kemungkinan Malaysia mengatasi pencapaian ketika menjadi tuan rumah pada 2017 yang menyaksikan kontinjen negara mengumpul 145 pingat emas.
“Kita mampu untuk melakar rekod menjadi juara keseluruhan sekali lagi. Cuma jumlah sasaran pingat emas rasmi akan kita tentukan apabila senarai penuh acara dimuktamadkan kelak. Kalau kita boleh memecahkan rekod 2017, ia satu pencapaian yang luar biasa untuk negara,” katanya.
Sukan SEA ke-34 pada 2027 akan dianjurkan menerusi empat kluster utama iaitu Kuala Lumpur, Sarawak, Pulau Pinang dan Johor