Impian Skuad Hoki Lelaki Negara untuk merakam kemenangan kedua pada Kejohanan FIH Hoki Piala Negara-Negara 2025-26 tertangguh selepas tewas 1-4 kepada Jepun di Stadium Hartleyvale, Cape Town malam tadi.

Kekalahan itu belum menjejaskan peluang Speedy Tigers untuk mara ke peringkat seterusnya selepas membuka kempen di Afrika Selatan kali ini dengan kemenangan 5-2 ke atas Scotland semalam.

Namun, barisan pemain perlu menunjukkan respons dan bangkit ke tahap sebenar dalam baki dua aksi Kumpulan A selepas ini menentang New Zealand (16 Jun) dan Korea Selatan pada 17 Jun nanti

Ketua jurulatih Speedy Tigers, Brendon Carolan menuntut persembahan yang lebih bertenaga daripada anak-anak buahnya dalam aksi seterusnya nanti.

“Sudah tentu kecewa kerana kami mahu meneruskan permulaan yang positif seperti menentang Scotland, namun hari ini belum cukup bagus.

“Kami perlu lebih bagus membawa bola tetapi kami terlalu ‘longgar’ dan sepatutnya kami harus memegang penguasaan dengan lebih baik daripada cuba menyerang setiap masa.

“Kami perlu lebih bagus dalam aksi selepas ini dan saya percaya kami boleh bangkit ke landasan yang tepat. Kami perlu pandang ke hadapan dan terus bekerja keras,” katanya.

Dalam aksi malam tadi, Speedy Tigers bermula positif dengan gol awal Faizal Saari pada minit ketiga sebelum Jepun bangkit mendahului 2-1 di hujung suku masa kedua.

Dua gol pantas itu hadir dalam tempoh dua minit menerusi pukulan sudut penalti Hyota Yamada dan jaringan padang Kazumasa Matsumoto pada minit ke-27 serta 29.

Usaha skuad negara mencari gol penyamaan berdepan kesukaran dan sering dipatahkan barisan pertahanan Jepun yang langsung tidak memberikan pukulan sudut penalti kepada Malaysia sepanjang perlawanan.

Sebaliknya, Jepun berjaya menambah dua lagi gol pada lewat permainan melalui gol padang Tsubasa Tanaka (m-51) dan pukulan sudut penalti Raiku Fujishima pada minit ke-56.