PENYERANG prolifik Selangor FC, Herlison Caion de Souza selesa dengan cara yang diterapkan jurulatih baharu pasukan tersebut, Tan Cheng Hoe.

Jelasnya, kehadiran Cheng Hoe menyuntik semangat baru kepada pemain dengan bermain secara penguasaan bola dan pemain semakin berjaya mengadaptasi corak tersebut.

Sedar harapan penyokong begitu tinggi terhadapnya, dia menegaskan menerima baik seruan tersebut namun menyifatkan Gergasi Merah hanya akan menjadi kuat sekiranya semua pemain bertindak sebagai suatu unit.

Mentaliti kemenangan harus terus diterapkan pemain termasuk dirinya kerana faham Selangor FC merupakan kelab yang mempunyai nama yang besar dan disegani sebelum ini.

“Semua baik. Kemenangan yang baik bertemu Melaka. Semua gembira dan tidak sabar menunggu perlawanan seterusnya.

“Semua menyukai cara baru yang diterapkan jurulatih. Ia membantu kami bermain dengan cara penguasaan bola, jurulatih suka, kami pun suka.

“Bagi saya, ia normal untuk mengadaptasi cara jurulatih baharu dan tidak menjadi masalah kerana jurulatih datang dan pergi.

“Kita bermain konsisten namun kita gagal mendapatkan keputusan sebelum ini. Kita harus konsisten kerana kita mempunyai pemain yang baik.

“Kita adalah kelab yang besar kita harus letakkan mentaliti kemenangan setiap perlawanan.

“Penyokong menantikan ini. Mereka mahukan keputusan yang bagus kerana kami adalah kelab yang besar.

“Saya harap dengan jurulatih baharu, kita telah mulakan langkah kemenangan dan saya harap berbaki tiga perlawanan dan dalam Piala Malaysia kita akan mencatat keputusan.

“Saya tahu penyokong mahu saya terus menjaringkan gol, tetapi saya bukan bermain individu, kita bermain secara berpasukan. Saya percaya kepada rakan sepasukan dan saya percaya kita bermain baik,” ujarnya ketika ditemui media semasa sesi latihan Selangor FC di Padang SUK, Shah Alam.