FOTO : MFL

KUALA Lumpur (KL) City FC mengutip kemenangan pada perlawanan terakhir pusingan pertama selepas menewaskan Sri Pahang FC dengan jaringan 2-1 dalam aksi Liga Super Malaysia 2023 di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Dalam perlawanan itu, KL City tidak menunggu lama untuk merobek gawang tuan rumah hasil ledakan penyerang import, Tchetche Kipre seawal minit ke-5.

Jaringan itu diperoleh daripada rembatan dari luar kotak penalti oleh Kipre yang berjaya menewaskan penjaga gol Tok Gajah, Izham Tarmizi Roslan.

 

Selepas dua minit, penyerang Sri Pahang, Kpah Sherman hampir menyamakan kedudukan namun lantunannya sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol.

Pertahanan import, Stefano Brundo berjaya menjaringkan gol penyamaan Sri Pahang selepas tandukannya menewaskan penjaga gol lawan, Muhammad Azim Al Amin Kamaruddin, tetapi pengadil perlawanan, Razlan Joffri Ali, membatalkan kerana ofsaid.

Tuan rumah akhirnya berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Brundo pada minit ke-57 selepas Muhammad Azim menjatuhkan pemain tengah, Baqiuddin.

 

Kapten KL City, Paulo Josue muncul wira City Boys apabila menjaringkan gol kemenangan susulan sepakan percuma cantik pada minit ke-75.

Pada perlawanan ini, Sri Pahang FC mengalami rekod tanpa kalah dalam perlawanan di tempat sendiri musim ini dan turut tewas pada perlawanan kedua berturut-turut selepas tewas kepada Johor Darul Ta’zim 0-2 pada 24 Mei lalu.