KELANTAN Darul Naim (KDN) FC  terus berdepan kesukaran dalam saingan Liga Super musim ini, dengan kekurangan latihan menjadi faktor utama prestasi hambar pasukan.

Penolong ketua jurulatih, Kamaruddin Muhammad, mengakui bahawa pasukan itu tidak menjalani latihan harian yang mencukupi untuk bersaing secara kompetitif dengan pasukan lain.

“Kita tidak berlatih setiap hari, sebaliknya hanya dipanggil untuk bermain. Pemain baru dikumpulkan dua hari lalu dan hanya sempat menjalani satu sesi latihan sebelum perlawanan menentang Penang FC,” katanya dalam sidang akhbar pada Jumaat.

Situasi ini menyebabkan Kijang Emas gagal memberikan tentangan sengit dalam perlawanan, termasuk kekalahan besar 1-6 kepada Penang FC di Stadium Sultan Muhammad IV.

Berbanding pasukan lain yang mempunyai barisan pemain import berkualiti dan latihan rapi, KDN FC terpaksa bergantung kepada pemain muda tempatan yang masih kurang pengalaman di peringkat tertinggi.

“Dalam tempoh seminggu, kita hanya berlatih dua atau tiga hari. Ini menyukarkan pasukan untuk bersaing dengan kelab lain yang mempunyai persediaan lebih tersusun,” jelas Kamaruddin.

Tambahnya, KDN FC kini hanya beraksi untuk melengkapkan jadual Liga Super tanpa mampu bersaing secara kompetitif.

“Pasukan ini berada dalam keadaan kritikal. Kita hanya memiliki satu atau dua pemain yang berpengalaman dalam Liga Super, manakala selebihnya adalah pemain muda yang masih memerlukan bimbingan. Jika keadaan ini berterusan, kita berisiko mengalami kekalahan lebih besar selepas ini,” katanya.

Beliau berharap pihak pengurusan mengambil langkah segera bagi menyelesaikan masalah yang melanda pasukan agar KDN FC mampu memberikan saingan lebih sengit kepada lawan.

“Saya juga berharap kelab ini akan dikendalikan oleh jurulatih berkaliber yang dapat membawa perubahan positif kepada pasukan,” ujarnya.

FOTO : MFL