KONGRES Luar Biasa (EGM) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mempunyai kuasa penuh untuk menerima atau menolak cadangan statut baharu yang bakal dibentangkan pada 4 Jun ini, namun keputusan menolak perubahan tersebut boleh mengundang campur tangan FIFA dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor John berkata, kuasa tertinggi dalam sesebuah persatuan bola sepak terletak di tangan Kongres dan sebarang keputusan mengenai draf statut baharu perlu ditentukan oleh perwakilan.

Menurut beliau, ahli-ahli Kongres berhak menolak cadangan yang dikemukakan, namun setiap bantahan perlu disertakan dengan justifikasi yang jelas serta cadangan alternatif yang lebih baik.

“Kalau tidak setuju, mereka perlu jelaskan kenapa tidak setuju dan mengapa cadangan mereka lebih baik daripada apa yang dicadangkan.

“Tidak boleh sekadar bangun dan berkata tidak setuju tanpa memberikan alasan yang munasabah,” katanya.

Draf statut baharu yang mengandungi 94 artikel itu merupakan hasil cadangan FIFA dan AFC bagi memperkukuh struktur tadbir urus FAM serta menyelaraskannya dengan standard antarabangsa.

Windsor menjelaskan Kongres boleh memilih untuk meluluskan keseluruhan draf secara sekali gus atau membahaskan serta mengundi setiap artikel secara berasingan sekiranya terdapat bantahan.

“Kalau tidak diluluskan secara keseluruhan, setiap artikel perlu dibentangkan dan diundi satu persatu. Itu amalan biasa dalam AFC dan FIFA,” katanya.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan bahawa sebarang penolakan terhadap prinsip-prinsip utama yang menjadi amalan global, termasuk penyertaan kelab dalam struktur keahlian dan tadbir urus persatuan, boleh menimbulkan persoalan daripada FIFA dan AFC.

Menurutnya, bola sepak moden menuntut kelab-kelab yang bersaing di peringkat tertinggi diberikan peranan dalam proses membuat keputusan.

“Kelab adalah pihak yang bermain di peringkat tertinggi. Jika mereka tidak diberikan suara dalam struktur pentadbiran bola sepak negara, itu bercanggah dengan prinsip demokrasi yang diamalkan dalam bola sepak antarabangsa,” katanya.

Mengulas kemungkinan jika Kongres menolak statut baharu, Windsor berkata perkara itu akan dirujuk semula kepada FIFA dan AFC untuk tindakan lanjut.

Beliau tidak menolak kemungkinan penubuhan Jawatankuasa Penormalan sebagai antara langkah yang boleh dipertimbangkan sekiranya badan induk bola sepak dunia dan Asia mendapati FAM gagal mematuhi standard tadbir urus antarabangsa.

“Langkah seterusnya boleh jadi apa sahaja, termasuk Jawatankuasa Penormalan.

“Kami perlu melihat mengapa statut itu ditolak dan sama ada ia melibatkan ketidakpatuhan terhadap standard antarabangsa yang ditetapkan FIFA dan AFC,” katanya.

Jawatankuasa Penormalan lazimnya dilantik oleh FIFA untuk mengurus dan menyusun semula sesebuah persatuan bola sepak yang berdepan krisis pentadbiran atau gagal mematuhi keperluan statut badan induk dunia itu.

Windsor turut menegaskan bahawa objektif utama perubahan yang dicadangkan bukan untuk mengurangkan kuasa mana-mana pihak, sebaliknya memastikan bola sepak Malaysia bergerak ke arah sistem yang lebih profesional, inklusif dan sejajar dengan amalan terbaik dunia.

“Semua keputusan yang dibuat perlu mengambil kira kepentingan bola sepak Malaysia secara keseluruhan, bukannya kepentingan mana-mana persatuan atau kelab secara individu,” katanya.