PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) didapati beroperasi di luar peraturan dan proses tadbir urusnya sendiri sejak lebih sedekad lalu berdasarkan dapatan audit pengurusan kualiti yang dibentangkan pada Kongres Luar Biasa (EGM) FAM 2026.
Laporan yang dibentangkan Timbalan Setiausaha Agung AFC, Vahid Kardany itu mendedahkan pelbagai kelemahan dalam aspek tadbir urus, perundangan dan pengurusan organisasi sehingga menjejaskan kredibiliti institusi berkenaan.
Antara penemuan utama audit ialah belanjawan tahunan tidak dibentangkan kepada Kongres sejak sekurang-kurangnya 2016, selain beberapa polisi penting seperti konflik kepentingan, perolehan, pengurusan risiko dan perlindungan pemberi maklumat masih tidak diwujudkan.
Audit turut mendapati struktur jawatankuasa yang wujud hanya di atas kertas tanpa pelaksanaan yang jelas, sekali gus menyebabkan aspek tadbir urus gagal dikuatkuasakan secara berkesan.
Selain itu, fungsi perundangan FAM dilihat berdepan tekanan apabila hanya dua pegawai mengendalikan urusan berkaitan undang-undang, tadbir urus serta status pemain.
Laporan berkenaan turut menyatakan banyak proses penting organisasi bergantung kepada individu tertentu sehingga mewujudkan risiko besar sekiranya berlaku pertukaran kakitangan atau kehilangan tenaga kerja utama.
Penilaian keseluruhan AFC menunjukkan kebanyakan jabatan FAM hanya memperoleh skor antara 1.2 hingga 2.0 dalam penarafan keupayaan organisasi, sekali gus meletakkan badan induk bola sepak negara itu pada tahap pembangunan yang masih rendah.
Menurut Vahid, kelemahan tersebut bukan bersifat terpencil, sebaliknya berlaku secara sistemik merentasi hampir semua bahagian dalam organisasi.