ENAM calon muda kini dalam senarai pendek untuk diberi penghormatan membawa Jalur Gemilang pada upacara pembukaan Sukan SEA Thailand bulan depan.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, nama-nama itu akan dibincangkan bersama Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sebelum keputusan muktamad diumumkan pada 3 Disember.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh hanya akan mengumumkan nama pembawa Jalur Gemilang ke Temasya Sukan SEA pada Disember depan.

“KP MSN maklumkan ada enam calon dan mereka akan kemukakan nama untuk saya pertimbangkan bersama MOM,” katanya, selepas menjadi speaker di Persidangan Sukan dan Kesihatan Mental di Bukit Jalil, pada Sabtu.

Jelas Hannah, calon yang dipilih nanti akan mewakili semangat muda dan tenaga baharu kontinjen Malaysia di pentas serantau itu.

Sementara itu, beliau memaklumkan kontinjen negara akan mengenakan batik Malaysia dan warna rasmi Team MAS ketika perarakan pembukaan rasmi temasya.

Bagi pakaian podium, rekaan disediakan oleh MOM dan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) dengan penaja masing-masing.

Hannah mengakui isu fesyen dan rekaan sering mencetuskan pelbagai reaksi, namun menegaskan semangat juang atlet lebih utama.

“Tak kiralah baju apa mereka pakai, yang penting mereka beraksi dengan bangga dan membawa kejayaan untuk Malaysia,” tegasnya.