Kredit Gambar: Peter Powell/AFP

Penyerang Manchester City, Erling Haaland, menggesa seluruh warga kelab supaya terus bersatu dan mengekalkan fokus terhadap bola sepak ketika pasukan itu berdepan ketidaktentuan susulan kes pelanggaran peraturan kewangan Liga Perdana Inggeris (EPL).

City berdepan kemungkinan dikenakan hukuman berat, termasuk pemotongan mata atau penyingkiran daripada EPL, selepas suruhanjaya bebas mendapati kelab itu bersalah atas lebih 100 pertuduhan berkaitan peraturan kewangan.

Kes berkenaan membabitkan dakwaan pelanggaran antara 2009 hingga 2018, termasuk berkaitan pelaporan hasil komersial dan kos operasi kelab.

Walaupun Haaland hanya menyertai City pada 2022, penyerang Norway itu mengakui situasi berkenaan turut memberi kesan kepada pemain dan penyokong yang mempunyai hubungan rapat dengan kelab.

Menjelang pertemuan menentang Liverpool pada Ahad, Haaland mahu rakan sepasukannya terus memberikan tumpuan kepada usaha memburu kemenangan tanpa terganggu dengan perkembangan di luar padang.

“Kami perlu kekal positif, memandang ke hadapan, cuba memenangi perlawanan bola sepak serta menikmati situasi ini dan memenangi perlawanan.

“Kami perlu terus bersatu dan menyebarkan kasih sayang antara satu sama lain.

“Jadi, terus bersatu, nikmati perjalanan ini dan senyumlah,” kata Haaland menerusi laman web rasmi kelab.

Haaland sebelum ini menandatangani kontrak baharu bersama City sehingga 2034. Bagaimanapun, masa depannya bersama kelab itu berpotensi menjadi perhatian sekiranya hukuman berat dikenakan.

Pemain berusia 26 tahun itu sudah menjaringkan 169 gol dalam 205 penampilan bersama City, selain mencuri tumpuan apabila membantu Norway mara ke suku akhir Piala Dunia.

Prestasi konsistennya turut dijangka menarik minat kelab gergasi Eropah sekiranya City tersingkir daripada EPL atau berdepan tempoh panjang tanpa beraksi dalam Liga Juara-Juara (UCL).

Namun, Haaland menegaskan kesetiaannya terhadap City dan turut memahami kebimbangan penyokong ketika kelab berdepan situasi berkenaan.

“Saya sangat mengambil berat tentang City, itu yang boleh saya katakan.

“Saya sangat mengambil berat tentang penyokong kerana saya sendiri juga peminat. Saya turut merasai apa yang mereka lalui,” tambah Haaland, yang bapanya, Alf-Inge Haaland, juga pernah beraksi bersama kelab itu.

Sementara itu, pengendali City, Enzo Maresca, turut menggesa semua pihak supaya mengekalkan perpaduan dan memberikan kepercayaan kepada kelab dalam menghadapi situasi berkenaan.

“Secara peribadi, saya sangat tenang. Kelab sudah menjelaskan pendiriannya dengan cukup baik. Kami memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada kelab.

“Kami memahami pelbagai spekulasi yang timbul, namun fokus kami hanya kepada perkara yang mampu dikawal, iaitu aspek bola sepak.

“Kita semua perlu bersatu. Saya sudah berkali-kali mengatakan bahawa kejayaan organisasi ini sepanjang 15 tahun lalu berpunca daripada kesepakatan semua pihak, bermula daripada pemilik, ketua pegawai eksekutif, pengarah sukan, pengurus, pemain hingga penyokong.

“Mereka semua mempunyai pendirian yang sama dan itu sesuatu yang cukup hebat,” kata Maresca menerusi laman web rasmi City.

City kini perlu memastikan isu di luar padang tidak menjejaskan persiapan pasukan menjelang pertemuan menentang Liverpool, ketika perhatian turut terarah kepada perkembangan kes kewangan yang membabitkan kelab itu.