BEKAS pemain badminton kebangsaan, Goh Liu Ying, menyeru generasi muda Malaysia untuk berani bermimpi besar dan mencipta masa depan yang gemilang melalui platform Malaysia Kidslympic 2024, acara sukan kanak-kanak yang julung kali diadakan.

Pelancaran rasmi program ini berlangsung hari ini, disertai perasmian logo serta pengumuman Goh Liu Ying sebagai ikon rasmi acara tersebut.

Dijadual berlangsung pada 28 hingga 29 Disember di Stadium Merdeka, Kidslympic 2024 bakal menghimpunkan lebih 1,500 kanak-kanak berusia 5 hingga 12 tahun dari seluruh negara untuk bertanding dalam pelbagai sukan seperti gimnastik, taekwondo, pentatlon moden, bola keranjang, sofbol, olahraga, dan bola tampar.

Goh Liu Ying, yang pernah meraih pingat perak beregu campuran di Sukan Olimpik Rio 2016 bersama Chan Peng Soon dillantik sebagai ikon Kidslympic 2024

Program ini diadakan di bawah naungan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dengan sokongan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan dijadikan platform untuk menyemai nilai perpaduan, kecemerlangan, dan semangat Olimpik dalam kalangan generasi muda.

Goh Liu Ying, yang pernah meraih pingat perak beregu campuran di Sukan Olimpik Rio 2016 bersama Chan Peng Soon, menekankan betapa pentingnya pendedahan kepada sukan pada usia muda.

“Saya berbesar hati dipilih sebagai ikon Kidslympic. Ia adalah satu inisiatif yang hebat untuk mempromosikan sukan dan gaya hidup aktif di dasar piramid pembangunan.

“Jika satu atau dua kanak-kanak muncul sebagai atlet negara dan akhirnya bersaing di Sukan Olimpik, objektif penganjuran Kidslympic tercapai,” katanya penuh optimis.

Logo rasmi Kidslympic, hasil rekaan artis terkenal @jinkschong, turut diperkenalkan, melambangkan semangat keterangkuman, tenaga, dan potensi tanpa had kanak-kanak Malaysia.

Menurut Pengarah Akademi Olimpik Kebangsaan Malaysia, Nicholas Chan, Kidslympic bukan sekadar pertandingan, tetapi satu perayaan nilai Olimpik sejati.

“Acara ini meraikan impian, keazaman, dan kepelbagaian, sekaligus memberi inspirasi kepada atlet muda dan menyatukan masyarakat,” ujarnya.

Logo rasmi Kidslympic, hasil rekaan artis terkenal @jinkschong, turut diperkenalkan, melambangkan semangat keterangkuman, tenaga, dan potensi tanpa had kanak-kanak Malaysia.

Dengan sokongan rakan kongsi seperti PNB Venture, Yakult, Decathlon, dan Wellsports, Kidslympic diharapkan menjadi landasan untuk kanak-kanak meneroka bakat mereka, membina persahabatan, dan mencipta kenangan bermakna.

Pelancaran rasmi program Kidslympic berlangsung hari ini, disertai perasmian logo serta pengumuman Goh Liu Ying sebagai ikon rasmi acara tersebut.

Goh Liu Ying turut menasihati kanak-kanak yang bakal menyertai Kidslympic agar bersaing dengan penuh semangat dan tidak takut gagal.

“Bermimpi besar, berusaha bersungguh-sungguh, dan yang paling penting, nikmati setiap momen.

“Sukan bukan sekadar kemenangan, tetapi pengalaman yang membentuk peribadi dan masa depan,” tambahnya dengan penuh inspirasi.