Kredit Gambar: MSN Malaysia

KEKECEWAAN jelas terpancar daripada jaguh lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli apabila impian memburu emas keempat berturut-turut di Sukan Para Asia tidak kesampaian, sebaliknya terpaksa berpuas hati dengan pingat perak di Aichi-Nagoya 2026, baru-baru ini.

Mengakui sudah melakukan segala yang termampu menerusi persiapan rapi dan latihan bersungguh-sungguh, Ziyad tetap sukar menyembunyikan rasa kecewa apabila hasrat mempertahankan kejuaraan sejak edisi 2014 tidak menjadi kenyataan.

“Saya agak kecewa kerana kita mahukan gelaran di Sukan Para Asia ini, tetapi saya sudah cuba yang terbaik. Saya sudah menjalani latihan dan melakukan segala usaha, namun rezeki belum menyebelahi saya kali ini,” katanya.

Atlet berpengalaman itu terpaksa akur dengan kehebatan atlet Arab Saudi, Bader Ali yang mencipta kejutan menerusi lontaran sejauh 17.08 meter (m) untuk memecahkan rekod temasya, sekali gus memadam impian Ziyad mencipta sejarah.

Bagaimanapun, kegagalan itu tidak bermakna noktah buat perjalanan Ziyad bersama skuad negara apabila beliau bertekad bangkit dengan semangat baharu bagi menghadapi cabaran pada 2027.

Beliau berkata, tumpuan kini adalah untuk menjalani proses pemulihan sebelum kembali berlatih bagi mempersiapkan diri menghadapi kejohanan akan datang, termasuk Kejohanan Dunia tahun depan.

“Ini bukan keputusan untuk saya berhenti mewakili negara. Insya-Allah, saya akan kembali pada 2027 dan membuktikan saya mampu menjadi lebih baik,” katanya.

Dalam masa sama, Ziyad merakamkan penghargaan kepada keluarga yang banyak berkorban, rakan-rakan serta rakyat Malaysia yang tidak putus-putus mendoakan kejayaannya, sambil menegaskan beliau sudah memberikan usaha terbaik demi mengharumkan nama negara.