MAJLIS Sukan Negara (MSN) meluluskan lebih RM500,000 untuk memindahkan atlet dari Songkhla ke Bangkok dan Chonburi selepas venue asal dilanda banjir.
Keputusan tergempar itu dibuat dalam mesyuarat yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, sekali gus memastikan fokus 206 atlet dan pegawai tidak terus dihantui kekalutan logistik.
MSN menerusi satu kenyataan, menegaskan sokongan kewangan tersebut adalah jaminan bahawa tiada atlet, sama ada Kategori A atau B, akan dibiarkan bergelut dalam situasi luar jangka menjelang Sukan SEA Ke-33.
Tindakan segera itu dilihat sebagai pemangkin semangat, menyuntik keyakinan atlet negara untuk terus memburu pingat tanpa sebarang alasan biarpun diuji cabaran bencana.

Kenyataan media dari Majlis Sukan Negara
Sembilan sukan seperti muay, pencak silat, bola sepak lelaki, judo, kabaddi, karate, petanque, wushu dan catur kini diterbangkan ke Bangkok, manakala gusti dipindahkan ke Chonburi.
Operasi pemindahan besar-besaran itu turut membabitkan penyesuaian hotel, pengangkutan dan jadual latihan yang dilaksanakan secara intensif oleh MSN.
Situasi banjir di Songkhla menjadi bukti pentingnya kesiapsiagaan, namun MSN menyifatkan tindakan kerajaan sebagai bukti keprihatinan terhadap kebajikan atlet.
“MSN siap sedia uruskan,” tegas Cawangan Komunikasi Korporat MSN, yang memastikan misi mengibarkan Jalur Gemilang tetap berjalan tanpa gangguan.