“UNTUK jadi juara dunia itu tidak mustahil. Kita sudah buktikan dan saya yakin beregu negara patut jadi juara Kejohanan Dunia,” tegas Pengarah Kejurulatihan Beregu BAM, Rexy Mainaky.

Menurut Rexy, prestasi semasa beberapa pasangan utama negara termasuk Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta gandingan muda Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Pearly Tan-Thinaah menunjukkan bahawa Malaysia tidak sekadar hadir sebagai pelengkap jadual ke kejohanan dunia di Paris, Ogos ini.

“Menjadi juara itu senang dicapai, tapi untuk kekal konsisten dan bermentaliti juara itu sangat sukar. Sebab itu saya mahu semua pemain beregu bawa semangat ‘lapar’ dan keinginan untuk terus menang,” katanya, ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Menurut beliau, momentum yang dimiliki ketika ini perlu dikekalkan dan menjadi pemangkin kepada kejayaan lebih besar termasuk menambah koleksi pingat dunia selepas kejayaan Aaron-Wooi Yik muncul juara dunia pertama Malaysia pada 2022.

Rexy turut memberi bayangan bahawa prestasi beregu wanita negara kini semakin baik, apabila barisan seperti Teoh Mei Xing-Go Pei Kee dan Carmen Ting-Ong Xin Yee mula menampilkan permainan berkualiti di pentas antarabangsa.

Beliau tidak menafikan bahawa proses pembangunan ini mengambil masa, namun melihatkan kepada komitmen semasa dalam latihan dan perlawanan, beliau percaya Malaysia memiliki lebih dari satu pasangan yang mampu menggegar dunia.

“Saya mahu semua pemain percaya dengan proses latihan, jaga kondisi badan dan yang paling penting jangan hilang jati diri dalam corak permainan masing-masing,” katanya yang mahu momentum dari kejohanan di Jepun dan China nanti dijadikan kayu ukur sebelum ke Kejohanan Dunia.