USAHA mengubah corak permainan perseorangan lelaki negara, Justin Hoh, dilihat belum membuahkan hasil apabila dua penampilan terbarunya di Terbuka Amerika Syarikat (AS) dan Kanada berakhir dengan kekecewaan awal.
Pemain muda berusia 20 tahun yang kini berada di ranking ke-43 dunia, gagal melepasi halangan awal apabila tewas kepada dua wakil Taiwan, Liao Jhuo Fu di pusingan kedua Terbuka AS dan Wang Po Wei di pusingan pertama Terbuka Kanada, semalam.

Pengarah kejurulatihan perseorangan, Kenneth Jonassen (kiri) yakin potensi Justin belum terserlah.
Bagaimanapun, Pengarah Kejurulatihan Perseorangan BAM, Kenneth Jonassen, menegaskan bahawa keputusan itu tidak mengejutkan memandangkan Justin kini sedang menyesuaikan diri dengan pendekatan permainan baharu yang dirangka khusus bagi membolehkannya bersaing di peringkat lebih tinggi.
“Dia cuba menambah sesuatu yang baharu dalam permainannya, dan apabila perkara ini berlaku, prestasi semasa mungkin tidak mencapai tahap terbaik. Ini perkara biasa dalam proses pembangunan pemain muda,” katanya ketika dihubungi.
Jonassen berkata, perubahan yang dilakukan melibatkan aspek kemahiran, strategi dan taktikal, dan tempoh penyesuaian itu kadangkala memberi kesan kepada persembahan dalam kejohanan berperingkat tinggi seperti Jelajah Dunia BWF.

Justin masih mencari “tapak” dalam kelompok elit perseorangan lelaki dunia.
“Apabila anda mahu naik ke tahap yang lebih tinggi, anda perlu ambil risiko untuk keluar dari zon selesa. Bagi saya, ini bukan masa untuk panik. Justin akan belajar daripada pengalaman ini dan bangkit lebih kuat,” ujarnya lagi.
Sejak menjuarai kejohanan Cabaran Antarabangsa Dove Saipan tahun lalu, Justin masih bergelut untuk mencipta impak konsisten, dengan pencapaian terbaiknya tahun ini sekadar mara ke suku akhir Terbuka Taiwan pada Mei lalu sebelum disekat pemain tuan rumah, Wang Tzu Wei.
Biarpun laluan ke pentas utama tampak sukar, BAM tetap optimis dengan perkembangan semasa pemain muda itu dan yakin perubahan taktikal yang sedang dirintis akan memberi hasil dalam tempoh sederhana hingga panjang.