EKSPETASI terlalu tinggi dilihat menjadi penghalang utama kepada kemajuan gandingan beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin dalam usaha mereka mengejar kejuaraan sulung tahun ini.
Perkara itu diakui sendiri ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto, yang menyifatkan tekanan dalaman terutama kepada Su Yin memberi kesan kepada prestasi pasangan itu ketika beraksi di pentas antarabangsa.

Ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto yakin sekiranya Su Yin.tidak.menetapkan ekspektasi terlalu tinggi, mampu kembali mencabar kejuaraan.
“Kadang-kadang Yee Sin (Su Yin) nampak seperti terbeban dengan ekspektasi kerana sekarang mereka sudah masuk kelompok 15 terbaik dunia. Jadi bila tak capai apa yang dia bayangkan, dia jadi stres sendiri,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.
Menurut Nova, isu utama bukan terletak pada aspek teknikal semata-mata tetapi lebih kepada faktor bukan teknikal seperti komunikasi dan kawalan emosi di gelanggang, yang masih belum stabil dalam kalangan pemain.

Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin raih gelaran antarabangsa pertama di Cabaran Antarabangsa Malaysia di Ipoh, Perak sebaik digandingkan.
“Kalau kualiti, memang mereka sudah buktikan, boleh ke final di China dan kalahkan pasangan top dunia. Tapi kalau nak jadi juara, tak cukup dengan skil saja. Mental kena kuat, karakter kena tahan uji,” katanya.
Tambah Nova, tiada cadangan untuk memecahkan pasangan tersebut buat masa ini kerana mereka masih merupakan gandingan terbaik yang dimiliki, cuma perlu diberi masa dan bimbingan untuk lebih stabil dalam menghadapi tekanan pertandingan.
“Kita sedang usahakan melalui pendekatan psikologi dan situasi ‘match play’ dalam latihan. Kalau mereka boleh hadap tekanan dalam latihan, di pertandingan nanti akan jadi lebih mudah,” ujarnya sambil meletakkan harapan tinggi agar gandingan itu mampu menjulang satu kejuaraan sebelum Kejohanan Dunia Ogos ini.