AYAH kepada jaguh badminton negara, Toh Ee Wei, iaitu Toh Kok Leong mengakui tidak dapat menahan air mata ketika lagu kebangsaan Negaraku berkumandang di pentas dunia, apatah lagi melihat anaknya berjaya mengharungi saingan getir dalam acara beregu campuran tanpa sebarang kecederaan.
Ibunya, Jane Yeo, menyifatkan kejayaan itu sebagai hasil proses pembelajaran yang panjang.
“Ini semua proses pembelajaran. Mereka belajar daripada kesilapan, sebab itu mampu mengatasi halangan dan mara sejauh ini,” katanya penuh emosi.
Jane turut berkongsi sisi peribadi anaknya yang jarang diketahui. Menurutnya, Ee Wei seorang yang kuat, berdisiplin dan tidak mudah menyerah meskipun pernah berdepan kecederaan serta masalah kesihatan.

Toh Kok Leong (kiri) bapa, Jane Yeo (kanan) ibu kepada Ee Wei bangga terhadapnya ketika ditemui di KLIA semalam.
“Kami tidak sangka dia mampu pergi sejauh ini selepas kecederaan. Ee Wei seorang gadis yang tabah, sangat berdisiplin, rajin, dan semua usaha itu akhirnya membuahkan hasil,” jelasnya.
Sejak kecil, Ee Wei digambarkan sebagai anak yang lasak dan aktif dalam pelbagai sukan termasuk bola keranjang dan badminton.
“Memang dari kecil dia mempunyai karakter yang unik dan nakal. Bila kami cuba disiplinkan, contohnya suruh pakai skirt, dia ikut hanya di sekolah. Balik rumah tetap pakai T-shirt dan seluar pendek,” kata Jane sambil tersenyum mengimbas kenangan lalu.

Bagi keluarga, kejayaan ini akan diraikan secara sederhana menerusi majlis makan malam bersama.
Kok Leong menutup dengan harapan tinggi terhadap masa depan anaknya.
“Perjalanan ini masih jauh. Harap dia mampu raih lebih banyak kejuaraan pada masa depan, mungkin juga Olimpik,” katanya.
Kemenangan ini jelas bukan penamat, sebaliknya menjadi permulaan buat Ee Wei untuk terus mencipta nama di pentas dunia dengan impian terbesar menjejakkan kaki ke Sukan Olimpik.