TAHAP kesihatan dan pernafasan  atlet harapan wushu negara ke temasya Sukan Asia Hangzhou, Wong Weng Son menunjukkan peningkatan ketara selepas menukar ubat dan hospital yang merawatnya, yang berdepan kesan Long Covid.

Weng Son, 31, yang ketika ini menjalani latihan pusat di China, menjadi sandaran untuk menyumbang pingat pertama di Hangzhou, dilaporkan mampu mempamerkan aksi di tahap terbaik untuk mencabar atlet dari China, Hong Kong, Taiwan dan beberapa lagi kuasa besar sukan itu.

Ketua Kontinjen (CDM) ke Sukan Asia, Datuk  Cong Kim Fatt yang juga Presiden Persekutuan Wushu Malaysia berkata, berdasarkan kemampuan Weng Son yang semakin pulih daripada kesan Covid yang panjang itu, beliau yakin penampilan skuad wushu negara kali ini tidak akan mengecewakan.

CDM ke Sukan Asia Hangzhou, Datuk Chong Kim Fatt mengharapkan wushu menyumbang pingat pertama buat kontinjen negara sekali gus membakar semangat memburu pingat.

“Ketika temasya Sukan Sea di Kemboja yang lalu Weng Son adalah sandaran emas untuk negara tapi ketika dia berdepan dengan masalah kesihatan kesan daripada pengambilan ubat Covid yang mana dia tidak boleh beraksi dalam tempoh yang lama.

“Apabila dia beraksi lebih daripada satu minit jantung dia akan bergerak dengan pantas tanpa henti sebab kurang oksigen.

“Tapi selepas berbincang dengan ISN (Institut Sukan Negara) untuk menukar ubat serta hospital, saya dimaklumkan jurulatih China yang mengendali latihan di sana bahawa keadaan Weng Son kini semakin baik,” katanya.

Atlet wushu Wong Weng Son (kanan) dan Pang Pui Yee (kiri) bergambar dengan Datuk Nicol David(tengah) pada temasya Sukan Sea Kemboja.

Justeru Kim Fatt berkata, dia mengharapkan Weng Son akan menebus kekecewaannya di Sukan Sea dengan menghadiahkan pingat di Sukan Asia kali ini.

Selaku CDM, wushu diharapkan menjadi sukan pertama yang menghadiahkan pingat buat negara pada temasya Hangzhou yang akan membuka tirainya 23 September ini.

Acara Changquan yang disertai Weng Son, akan terus dilangsungkan di pusingan akhir yang dijadual pada 24 September, jam 9 pagi di Guali Cultural & Sports Centre.

“Pingat dari Weng Son amat penting bagi menaikkan semangat kontinjen memburu pingat di temasya kali ini,” ujarnya.

Tan Cheong Min turut menjadi sandaran di Sukan Asia Hangzhou.

Berdasarkan rekod, skuad wushu mempamerkan prestasi hambar pada dua edisi lalu, di Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 dan 2014 di Incheon, Korea Selatan yang menyaksikan Malaysia pulang dengan tangan kosong.

Bagaimanapun berdasarkan prestasi terkini atlet wushu negara iaitu pemenang dua pingat emas Sukan Sea dan juga juara dunia, Tan Cheong Min yang turun dalam acara nanquan dan nandao all-round, diharapkan sukan berkenaan mampu menghadirkan kilauan emas.

Untuk rekod, Weng Son pernah meraih satu emas, enam perak dan satu gangsa di Kejohanan Dunia sejak 2015, selain tiga pingat emas di Piala Dunia dan membawa pulang dua pingat gangsa di Sukan Sea Kemboja dalam acara gabungan Jianshu+Qiangshu serta Changquan.

BARISAN ATLET WUSHU NEGARA KE TEMASYA SUKAN ASIA

Lelaki

Calvin Lee Wai Leong (Nanquan, Nangun All-Round)

Clement Ting Su Wei (Men Daoshu, Gunshu All-Round),

Tan Zhi Yan (Men’s Taijiquan & Taijijian AllRound),

Wong Weng Son (Men’s Changquan),

Wanita

Pang Pui Yee (Women’s Jianshu & Qiangshu All-Round),

Sydney Chin Sy Xuan (Women’s Taijiquan & Taijijian All-Round),

Tan Cheong Min (Women’s Nanquan & Nandao All-Round).