JIKA ditanya kepada masyarakat, secara umumnya pasti ramai yang memilih masakan ibu sebagai juadah kegemaran masing-masing tanpa mengira bangsa, keturunan dan agama.
Air tangan ibu yang memasak dengan penuh kasih sayang diibaratkan umpama penenang jiwa tatkala makanan dijamah yang pastinya menguntum senyuman di wajah anak-anak di pagi Syawal.
Perkara ini juga menjadi pilihan buat ketua jurulatih Penang FC 2, Manzoor Azwira Abdul Wahid yang memilih masakan ibunya sebagai menu wajib di pagi raya selepas menunaikan ibadah puasa selama sebulan.

Makanan ibu jadi pilihan di pagi raya
“Saya beraya di dua negeri pada hari yang sama, pagi di Pulau Pinang dan kemudiannya di Alor Star, Kedah dan perkara ini saya lakukan setiap tahun sejak dahulu.
“Masakan mak saya jadi pilihan di pagi raya seperti ketupat, lemang dan rendang. Tiga makanan ini memang jadi pilihan saya setiap kali kerana ianya memberikan gambaran sebenar makanan Hari Raya,” katanya kepada FLASH SUKAN.
Manzoor turut menyatakan perubahan kalendar Liga Malaysia 2024-25 memberikan lebih masa buat dirinya dan para pemain untuk menyambut Aidilfitri apabila dia memberikan cuti selama lima hari kepada pasukannya.

Manzoor (tengah) memberitahu Penang FC akan menjalani perlawanan persahabatan selepas Aidilfitri.
“Liga hanya akan bermula pada 20 Mei jadi saya berikan mereka cuti selama lima hari supaya dapat beraya lebih lama bersama keluarga dan saya rasa ini penting untuk mereka sebelum menempuh musim yang panjang,” jelasnya.
Penang FC 2 juga akan menjalani beberapa perlawanan persahabatan selepas cuti Aidilfitri sebagai persiapan untuk menghadapi musim baharu Piala MFL yang menyaksikan perubahan dengan format liga dua pusingan yang lebih kompetitif.