“CUBAAN untuk mencemarkan nama saya dan barisan calon pemilihan jawatankuasa eksekutif Persatuan Hoki Kuala Lumpur (PHKL) gagal sama sekali.”

Begitulah tegas Datuk Seri Megat D Shahriman D  Zaharuddin, calon presiden PHKL mengenai senario pemilihan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) esok.

Mengulas dakwaan pemalsuan dokumen dan isu-isu lain yang timbul menjelang AGM, beliau menegaskan bahawa semua tuduhan tidak berasas dan menolak sekeras-kerasnya percubaan untuk mencalarkan imejnya.

“Dakwaan mengenai pemalsuan dokumen tidak benar. Semua penandatangan ada di sini. Kami hadir bersama, dan dakwaan seperti ini langsung tidak berasas,” katanya, sekali gus menafikan dakwaan lima perkara yang diumumkan penyandang presiden PHKL, I Vikneswaran semalam.

Calon presiden PHKL, Datuk Seri Megat D Shahriman D Zaharuddin mengadakan sidang media di Petaling Jaya.

Beliau turut menjelaskan isu melibatkan Zaidatul Syukriah Abdul Malik yang didakwa mengaku sebagai bekas atlet hoki kebangsaan sebagai tidak berasas.

“Dalam profil beliau, jelas dinyatakan bahawa beliau adalah bekas atlet kenu kebangsaan dan atlet Sukma, bukan bekas atlet hoki kebangsaan,” katanya.

Datuk Seri Megat turut menyangkal tuduhan bahawa Kelab Sukan Felda dan KL Social tidak wujud, dengan menyatakan bukti pembayaran yuran dan penglibatan aktif kelab tersebut dalam PHKL.

“Sekiranya kelab-kelab ini tidak wujud, bagaimana mereka boleh aktif dan membayar yuran tahunan? Tuduhan ini jelas berniat jahat,” tambahnya.

Beliau juga mempersoalkan pengendalian calon oleh pihak tertentu, termasuk isu kelewatan pengesahan penarikan diri calon, Reginald Allan Netto.

“Cubaan untuk menggunakan nama saya bagi meraih populariti gagal. Kami sentiasa mengikut peraturan, undang-undang, dan mengamalkan tadbir urus yang telus. Saya menyeru semua ahli gabungan dan peminat hoki untuk hadir ke AGM dan membuat pilihan tepat demi masa depan hoki Kuala Lumpur,” katanya.

AGM PHKL dijadual berlangsung esok di Pearl Hotel, Kuala Lumpur.