AHLI Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari menegaskan komitmennya untuk meneruskan kesinambungan gerak kerja Kementerian Belia dan Sukan (KBS), namun mengakui memerlukan sedikit masa untuk mendapatkan taklimat menyeluruh daripada semua pihak berkepentingan.

Menteri Belia dan Sukan yang baharu itu berkata, hari pertama beliau di KBS dimanfaatkan untuk proses asas sebelum menetapkan hala tuju lebih jelas berkaitan agenda belia dan sukan negara.

Dr. Mohammed Taufiq Johari pada sidang media pertama sebagai Menteri Belia dan Sukan.

“Ini hari pertama saya, baru sahaja masuk dan banyak perkara yang perlu saya teliti dengan lebih mendalam,” kata Dr Mohammed Taufiq pada sidang media pertamanya.

Menurut beliau, taklimat daripada Ketua Setiausaha, ketua-ketua jabatan serta agensi berkaitan amat penting sebelum sebarang keputusan atau pelan tindakan diumumkan.

“Saya memberi jaminan selepas ini saya akan panggil semula rakan-rakan media untuk penerangan dan penjelasan yang lebih lanjut, khususnya berkaitan isu-isu semasa KBS,” katanya.

Dr Mohammed Taufiq turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan yang diberikan serta memuji gerak kerja mantan Menteri, Hannah Yeoh dan Timbalan Menteri, Adam Adli Abdul Halim.

“Kesinambungan gerak kerja yang cukup hebat dan mantap itu sudah pasti akan diteruskan oleh saya dan Timbalan Menteri,” katanya.

Mengulas cabaran menerajui kementerian merangkumi pembangunan belia dan sukan prestasi tinggi, beliau menegaskan keperluan kerjasama erat semua persatuan sukan serta pendekatan rentas kementerian.

“Berikan sedikit masa dan saya yakin dengan sokongan semua pihak, kita mampu melonjakkan KBS ke tahap yang lebih tinggi, Insya-Allah,” kata Dr Mohammed Taufiq.